Mary Victoria Dass

Kulai: Johor bersedia beralih ke fasa endemik secepat mungkin bagi membolehkan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura diperluaskan berdasarkan peratusan individu mendapat dos penggalak.

Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, peningkatan jumlah peratusan individu yang mendapatkan dos penggalak menjadi indikator kerajaan sudah bersedia melangkah ke fasa endemik.

Beliau berkata, melihat perkembangan positif berkenaan, kerajaan juga sesuai menambah kuota pengembara kedua-dua negara melalui inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat ditambah.

"Saya mendapat petunjuk daripada Kerajaan Pusat bahawa bilangan jumlah pengembara yang menggunakan VTL darat sedang dikaji daripada masa ke semasa.

"Ia adalah usaha berterusan secara bersama antara Kerajaan Pusat dengan Singapura bagi menambah bilangan pengembara menggunakan inisiatif berkenaan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Johor 2022, di sini, hari ini.

HASNI ketika sidang media selepas Perasmian Pelancaran Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan AIM Wilayah Johor 2022. FOTO Nur Aisyah Mazalan
HASNI ketika sidang media selepas Perasmian Pelancaran Bengkel Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan AIM Wilayah Johor 2022. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Hadir sama, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abd Aziz dan Timbalan Pengerusi AIM, Mohd Najib Mohd Noor.

Skim VTL darat dan udara Malaysia-Singapura mula dilaksanakan pada 29 November lalu, dengan kuota 1,440 individu pada minggu pertama.

VTL darat membabitkan Stesen Bas Queen Street, Singapura ke Terminal Larkin Sentral, dekat sini, manakala VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kuota penggunaan VTL darat dikurangkan sehingga 50 peratus pada Januari lalu berikutan penularan varian Omicron.

Isu VTL darat dan pembukaan sempadan menjadi antara isu yang dibangkitkan oleh parti politik pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 2:54 PM