Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kes positif Covid-19 pertama di pintu masuk Malaysia dikesan pada hari pertama Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura di sini, membabitkan seorang pemuda berusia 21 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata, ujian saringan Covid-19 terhadap pemuda itu di Singapura didapati negatif.

Namun, katanya, ujian pengesanan pantas (RTK-Antigen) On Arrival Test (OAT) Covid-19 yang jalankan ketika ketibaannya di Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, didapati positif.

"Pemuda yang didapati positif itu menaiki bas pertama bersama 45 lagi penumpang yang tiba di sini pada 9.10 pagi hari ini dari Terminal Bas Queen Street, Singapura.

"Dia terus diasingkan sebaik keputusan saringannya positif dan kini sedang dikuarantin Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

"Pengesanan kes ini membuktikan sistem VTL Darat yang dilaksanakan di sini, berkesan apabila mereka yang positif terus diasing dan dikuarantin sekali gus tidak dibenarkan keluar dari tempat pemeriksaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau laluan VTL Darat di terminal berkenaan hari ini.

PENGEMBARA yang dipercayai positif Covid-19  selepas melakukan ujian pengesanan pantas (RTK-Antigen). FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENGEMBARA yang dipercayai positif Covid-19 selepas melakukan ujian pengesanan pantas (RTK-Antigen). FOTO Nur Aisyah Mazalan

Media hari ini melaporkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan satu kes positif Covid-19 dikesan di pintu masuk Malaysia pada hari pertama VTL Darat antara Malaysia dan Singapura.

Beliau dilaporkan berkata maklumat itu diterima pagi hari ini di pintu masuk antarabangsa Tambak Johor, iaitu satu kes positif dari ujian RTK-Antigen yang dikesan ketika ujian saringan semasa ketibaan.

Sementara itu, Solihan berkata, sebanyak 12 bas dengan 350 penumpang tiba dari Singapura menerusi VTL Darat di sini, sejak tengah hari ini.

Menurutnya, dengan hanya satu kes positif dikesan setakat ini, adalah menjadi harapan kerajaan negeri supaya VTL Darat Malaysia-Singapura berjalan lancar sekali gus bilangan kuota harian seramai 1,440 dapat ditingkatkan nanti.

"Jika VTL Darat Malaysia-Singapura berjalan lancar, sudah pasti kerajaan negeri akan memohon supaya jumlah kuota harian ditingkatkan.

"Kita tidak menganggap satu kes positif yang dikesan di laluan VTL Darat di sini, sebagai halangan untuk kejayaan skim ini.

"Namun, langkah berhati-hati dan penuh berwaspada akan sentiasa dilaksanakan dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan risiko penularan wabak dapat ditangani dengan berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 2:51 PM