Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang pengurus operasi yang bekerja di Singapura mengambil cuti tiga bulan bagi membuat kejutan kepada keluarganya di Nusajaya, di sini, selepas hampir setahun tidak pulang.

Kavin Raj Gunalan, 25, berkata, beliau tidak memaklumkan keluarganya akan pulang menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat).

Katanya, ibu dan neneknya ada bertanyakan sama ada beliau akan pulang, namun dia mengatakan tidak dapat membeli tiket yang kehabisan.

"Sebenarnya saya mahu memberi kejutan kepada ibu dan nenek, apatah lagi saya tidak dapat pulang ketika Deepavali baru-baru ini.

"Sudah tentu saya sangat rindukan ibu, nenek dan keluarga lain malah saya ambil cuti selama tiga bulan bagi menghabiskan masa puas-puas bersama keluarga sebelum kembali ke Singapura nanti.

"Saya tak sabar nak menikmati nasi lemak dan teh tarik di sini, yang rasanya sangat istimewa dan dekat di hati saya," katanya ketika ditemui di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, hari ini.

Seramai 46 pengembara bagi kumpulan pertama tiba di Larkin Sentral, di sini dari Singapura melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat).

Kesemua pengembara tiba di terminal bas menaiki bas TranStar pada 9.10 pagi disambut oleh Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Keong.

Ini adalah kumpulan pertama rakyat Malaysia dan pengembara yang menggunakan VTL Darat yang menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali sejak hampir dua tahun sempadan antarabangsa ditutup akibat penularan wabak Covid-19.

RAKYAT Malaysia selamat tiba di Larkin Sentral, Johor Bahru dari Queen Street, Singapura menerusi program VTL darat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
RAKYAT Malaysia selamat tiba di Larkin Sentral, Johor Bahru dari Queen Street, Singapura menerusi program VTL darat. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Kesemua mereka perlu menjalani ujian pengesanan pantas (RTK), 'On Arrival Test' (OAT) COVID-19 semasa ketibaan mereka di balai ketibaan Larkin Sentral.

Terdahulu, lima orang warganegara Malaysia yang mempunyai permastautin tetap (PR) menggunakan VTL Darat menaiki bas Causeway Link yang berlepas pada 7.30 pagi menuju ke republik itu.

Ditanya mengenai proses pemeriksaan yang dilakukan sebaik tiba di terminal berkenaan pagi tadi, Kavin Raj berkata, proses yang dilakukan agak teliti namun berjalan lancar.

"Semua pengembara dari Singapura yang tiba perlu mengemukakan 'Vaccination Travel Pass' (VTP) serta keputusan ujian Covid-19 yang dilakukan di Singapura, dalam tempoh 72 jam lalu.

"Selepas semua dokumen dan keputusan di Singapura sudah disahkan, kami diarah melakukan ujian pengesanan pantas (RTK) atau On Arrival Test (OAT) Covid-19 di Terminal Larkin Sentral.

"Selelas keputusan OAT kami negatif, barulah Kementerian Kesihatan (KKM) benarkan kami melepasi pintu keluar laluan VTL Darat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 12:24 PM