Omar Ahmad


Johor Bahru: Pembukaan sempadan kedua negara antara Malaysia dan Singapura menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) darat tidak tergugat susulan ancaman varian Omicron.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pertemuan bersama Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan yang menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tengah hari tadi turut membincangkan perkara berkenaan.

Katanya, seperti yang digambarkan oleh Dr Vivian belum ada kepastian varian berkenaan akan mengganggu kelancaran VTL darat.

"Kita memerlukan masa dua minggu hingga sebulan untuk melihat kesan dan kedudukan varian Omicron ini dan sepanjang tempoh itu Prosedur Operasi Standart (SOP) VTL darat ini akan diteruskan.

"Setakat ini VTL darat berjalan lancar dan kita kena pertingkatkan SOP, jika mahu meningkatkan jumlah pengembara. Syarat dan keperluan SOP seperti ujian ketika ketibaan (test on arrival) perlu dipertingkatkan.

"Sekiranya terdapat perkara baru berbangkit berkaitan varian Omicron ini, tidak ada gambaran bahawa VTL darat ini akan ditutup semula atau sebagainya. Tetapi satu SOP yang lebih sesuai akan diperkenalkan yang akan membabitkan kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis perasmian JohorPay dan JoMS serta penyerahan dokumen kajian pelan induk digital negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni berkata setakat ini terdapat dua kes positif Covid-19 dikesan iaitu satu kes dari Malaysia dan satu kes dari Singapura.

"Sudah empat hari VTL darat berjalan. Semuanya berjalan lancar walau dua kes positif COVID-19 dikesan iaitu satu kes dari Singapura dan satu kes dari Malaysia," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan perancangan mewujudkan VTL dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan Omicron atau negara berisiko tinggi berlaku.

Hasni (tengah) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani (kanan) ketika hadir Majlis Pelancaran JohorPay dan Sistem pemantauan Projek (JoMS) serta Penyerahan Dokumen Kajian Pelan Induk Digital Johor 2030 di Hotel Thistle, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Hasni (tengah) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani (kanan) ketika hadir Majlis Pelancaran JohorPay dan Sistem pemantauan Projek (JoMS) serta Penyerahan Dokumen Kajian Pelan Induk Digital Johor 2030 di Hotel Thistle, Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mana langkah terbabit dibuat sehingga gambaran penularan Omicron lebih jelas diperoleh di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 6:28 PM