TAMBAK Johor. FOTO Omar Ahmad
TAMBAK Johor. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan Johor memohon supaya pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura dibuka sekali dengan VTL udara pada 29 November ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, pihaknya berharap permintaan itu dipertimbangkan.

Katanya terdapat 300,000 rakyat negara ini yang bekerja secara harian dan ulang-alik ke republik itu setiap hari.

"Kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama rakan sejawatnya Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. Kerajaan negeri menggambarkan kepada kementerian berkaitan dengan pengumuman VTL itu, kalau boleh dapat disekalikan dengan VTL melalui jalan darat.

"VTL menerusi udara sudah dibincangkan. Tetapi melalui jalan darat, kerajaan negeri meminta supaya tarikh pelaksanaan disekalikan, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui kedua negara, semoga ia dapat direalisasikan," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Apresiasi Pre Ihsan Johor 3.0 2021 di Auditorium RTM Johor, di sini.

Baru-baru ini, Malaysia dan Singapura mengumumkan akan melancarkan (VTL) bagi pengembara antara kedua-dua negara yang menggunakan mod pengangkutan udara, untuk pengembara yang sudah lengkap divaksinasi.

VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Hasni, SOP VTL darat bergantung kepada kapasiti pembinaan Pusat Pengembara Perniagaan (BTC) yang sudah mula dibina.

Pihaknya mencadangkan kapasiti pengembara sehari antara 100 individu yang menaiki pengangkutan awam sahaja.

"Kalau VTL udara mungkin lebih mudah dikendalikan kerana setiap penerbangan mempunyai jadual masa ketibaan, yang membolehkan petugas bersedia.

"Dari segi VTL darat, memerlukan persediaan petugas seperti Jabatan Imigresen dan bergantung kepada keluasan BTC bagi menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap pengembara.

"Buat permulaan mungkin boleh limit (hadkan) dengan jumlah 100 pengembara yang hanya menaiki pengangkutan awam sahaja, kerana ia mudah untuk dikawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 8:26 AM