HASNI (kiri) dan Muhyiddin berbincang sesuatu dengan ahli dewan yang lain ketika sesi rehat pada penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail. FOTO BERNAMA
HASNI (kiri) dan Muhyiddin berbincang sesuatu dengan ahli dewan yang lain ketika sesi rehat pada penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menempelak pembangkang yang mempersoalkan jumlah pengembara dibenarkan merentas sempadan Malaysia-Singapura menerusi Laluan Perjalanan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) darat Malaysia-Singapura, yang didakwa terlalu kecil.

Hasni berkata, tidak wajar jumlah bilangan minggu pertama VTL darat itu dipertikaikan sedangkan kerajaan negeri berusaha gigih bagi perkara itu direalisasikan sejak tahun lalu.

Beliau berkata, apa yang perlu diberi perhatian ialah sempadan darat kedua-dua negara akhirnya dibuka semula bermula esok menerusi VTL darat selepas pelbagai usaha digerakkan ke arah itu.

"Tidak perlulah untuk kita mempersoalkan bilangan orang yang dibenarkan merentas sempadan Malaysia-Singapura.

"Sama ada 1,440 orang itu terlalu kecil bilangannya, mahu pun mempersoal mengapa perlu dikenakan ujian di pintu masuk.

"Yang penting, sempadan Johor-Singapura sudah dibuka dan dalam masa terdekat keadaan akan kembali hampir seperti sebelum penutupannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Belanjawan Johor 2022 pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 hari ini.

Pada 21 November lalu, Hasni dilaporkan memaklumkan DUN Johor seramai 1,440 individu dijangka menggunakan laluan VTL darat antara Malaysia dan Singapura yang akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara, esok.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) Johor menerusi kenyataannya pada Khamis membangkitkan persoalan kuota harian VTL darat yang disifatkan terlalu sedikit.

Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.

Selain diwajibkan divaksinasi penuh, laluan VTL hanya menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan.

Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminal Bas Larkin Sentral sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia, manakala Terminal Queen Street dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 3:41 PM