Khairy Jamaluddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Khairy Jamaluddin. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kelantan menjadi negeri paling rendah mendapatkan dos penggalak iaitu sekitar 27.7 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi dewasa di negeri berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu merunsingkan pihaknya terutamanya apabila unit rawatan rapi (ICU) di negeri berkenaan semakin penuh.

"Loloni Kelate paling rendah skali ambik booster (Sekarang Kelantan paling rendah ambil dos penggalak).

"Ambo (saya) runsing, ICU sana koho penuh (ICU sana semakin penuh). Ambo mitok sangat puok kita di Kelate pakat cocok vaksin & booster (Saya minta sangat rakyat Kelantan pergi cucuk vaksin dan ambil dos penggalak).

"Kementerian Kesihatan (KKM) saye ore Kelate, pakat gi cocok deh (KKM sayang orang Kelantan, tolong pegi cucuk (vaksin)," katanya dalam ciapan di Twitter.

Menerusi data dalam COVIDNOW, secara keseluruhannya Kelantan sudah memberikan sebanyak 2,298,896 dos.

Daripada jumlah berkenaan, 1,020,322 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dengan 1,005,200 lengkap dua dos vaksin.

Selain itu hanya 281,219 sudah menerima dos penggalak.

Selain itu, negeri berkenaan kini mencatatkan 94 peratus kadar penggunaan di ICU manakala sudah melebihi 100 peratus bagi penggunaan katil bukan ICU.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 1:27 PM