GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Kes harian Covid-19 di negara ini terus meningkat dengan pertambahan 30,787 kes, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan jumlah individu yang dijangkiti virus berkenaan adalah sebanyak 3,741,986 kes.

Mengulas mengenai kes yang dilaporkan semalam, Dr Noor Hisham berkata, ia membabitkan 30,179 kes penularan tempatan dengan 608 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak 19,642 kes atau 63.8 peratus. Ia diikuti kategori satu (10,921 kes), kategori tiga (93 kes), 74 kes membabitkan kategori empat dan 57 kes bagi kategori lima.

"Daripada jumlah keseluruhan 224 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 58 kes (25.89 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 94 kes (41.96 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 72 kes (32.14 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster) dan 122 kes (54.46 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas.

"Sebanyak 96 kes (42.86 peratus) pula mempunyai komorbid; dan dua kes (0.89%) adalah ibu mengandung," katanya.

Secara keseluruhannya, daripada jumlah kes aktif di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, 389 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 153 kes disahkan Covid-19 serta 236 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 229 kes iaitu 96 kes disahkan Covid-19 serta 133 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 26,457 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 3,393,999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 10:35 AM