Dr Zaini Hussin
Dr Zaini Hussin
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pemberian dos penggalak dalam kalangan golongan dewasa di negeri Kelantan masih rendah dengan jumlah hanya 298,185 dos atau 23.7 peratus sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, angka berkenaan sangat rendah dan tidak mencapai sasaran pihaknya.

Katanya, faktor golongan berkenaan enggan mengambil dos penggalak kerana mereka beranggapan dengan mengambil suntikan vaksin Covid-19 sebanyak dua dos sudah mencukupi.

"Sehingga kini ramai tidak mahu mengambil suntikan dos penggalak, walaupun banyak cara kita lakukan termasuk melakukan promosi dan khidmat nasihat.

"Selain hospital, banyak klinik swasta yang menawarkan suntikan dos penggalak, namun tidak mendapat sambutan.

"Justeru, kita merayu dan berharap penduduk dewasa negeri ini supaya tampil untuk mengambil suntikan dos penggalak bagi melindungi diri mereka serta mengelakkan daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih teruk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Zaini berkata, mengambil dos penggalak juga penting kerana kes pada masa ini sangat tinggi dan jangkitan Covid-19 mudah merebak.

Katanya, walaupun kes yang dilaporkan kebanyakan bagi kategori satu dan dua , namun ada individu yang terkena jangkitan yang serius hingga dirawat di hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Bagi jangkitan kes Covid-19 di negeri ini semalam adalah sebanyak 1,637 kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 3:35 PM