Nur Fikriyah menghidap kanser tulang. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Nur Fikriyah menghidap kanser tulang. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Kubang Pasu: Sejak disahkan menghidap barah tulang tahap lima bulan lalu, kehidupan Nur Fikriyah Darus, 25, berubah sekelip mata.

Dahulu, dia seorang yang periang dan pernah menuntut di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (Polimas) di Jitra.

Namun kini, Nur Fikriyah perlu bertongkat untuk bergerak.

Menurut Nur Fikriyah, dia kini bergantung kepada ibu bapa serta abangnya untuk menghantarnya menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang (HPP) sekurang-kurangnya tiga minggu sekali.

"Pada mulanya, saya jatuh tangga pada bulan Ogos tahun lalu dan mendapatkan rawatan pakar tulang di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

"Saya dimasukkan ke wad selama empat hari sebelum dirujuk ke HPP untuk menjalani rawatan susulan.

"Dua minggu kemudian, saya disahkan menghidap barah tulang namun saya reda dengan ujian Allah SWT," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Maharaja di Padang Perahu sini, hari ini.

Menurut Nur Fikriyah, sebelum menjalani rawatan kimoterapi, kaki kirinya bengkak namun selepas tiga kali rawatan, bengkak itu mulai surut.

"Saya berdoa supaya sembuh kerana kasihan dengan ibu bapa yang bersedih selain banyak berkorban demi rawatan saya.

"Saya juga berharap, ada pihak sanggup membantu saya bagi meringankan beban keluarga," katanya.

Ibunya, Siti Habsah Hamid, 54, berkata, selepas mengetahui anak keempat daripada enam beradik itu menghidap barah tulang, dia tidak putus memberi semangat kepada Nur Fikriyah supaya terus berdoa kepada Allah SWT supaya diberi kesembuhan.

Katanya, mereka cuma mengharapkan bantuan katil dan tilam untuk kemudahan Nur Fikriyah selain bantuan kewangan bagi meneruskan kos perjalanan serta rawatan anaknya itu.

"Saya dan suami, Darus Hamid yang berusia 64 tahun juga perlu menguruskan anak bongsu kami, Nur Fizanah, berumur 21 tahun yang menghidap kencing manis kronik dan hanya terlantar di rumah," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nur Fikriyah di talian 014-6744207.

Sementara itu, Pengerusi Canser Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal, turut menghulurkan sumbangan barangan keperluan Nur Fikriyah termasuk susu formula khas, lampin pakai buang, katil pesakit serta wang.

Katanya, sokongan moral untuk pesakit barah amat penting bagi membantu memulihkan semangat mereka supaya terus berjuang melawan penyakit terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 1:10 PM