RAFIDAH (kanan) memberi susu formula khas kepada suaminya, Mohamad Idris yang menghidap barah usus tahap tiga sejak Ogos tahun lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
RAFIDAH (kanan) memberi susu formula khas kepada suaminya, Mohamad Idris yang menghidap barah usus tahap tiga sejak Ogos tahun lalu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Wanita ini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya tidak dapat melakukan kerja berat sejak disahkan menghidap barah usus tahap tiga sejak tahun lalu.

Sebelum ini, Rafidah Abd Rahim, 36, bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menyara kehidupan keluarga mereka.

Menurutnya, apabila suaminya, Mohamad Idris Md Desa, 46, menghidap penyakit barah itu pada Ogos tahun lalu, dia terpaksa menguruskan semua tanggungjawab termasuk membesarkan tiga anak yang masih kecil.

"Ketika suami mula sakit, saya pula disahkan hamil anak ketiga dan ketika itu saya kuatkan diri membawa suami berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dari Alor Setar dengan memandu kereta bersamanya.

"Suami yang sebelum ini bekerja sebagai operator kilang, pada mulanya mengadu sakit perut, namun hanya mendapatkan rawatan di klinik swasta tetapi tidak sembuh.

"Kami kemudian mendapatkan rawatan susulan di sebuah pusat perubatan swasta dan doktor mengesyaki suami menghidap barah usus selepas melakukan ujian endoskopi.

"Suami dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk pemeriksaan susulan dan diminta menjalani rawatan lanjut di HPP serta rawatan kemoterapi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Alor Mengkudu, di sini, hari ini.

Menurutnya, disebabkan kerap berulang-alik ke HPP, mereka terpaksa meninggalkan dua anak, Nur Inas Raisha Mohamad Idris, 12, dan Nur Inas Rania, 6, kepada ibunya, Che Tom Darus, 70, untuk menjaga mereka di rumah.

Katanya, dia melakukan urusan sendirian termasuk pemeriksaan kehamilan di Pulau Pinang.

"Namun selepas melahirkan anak ketiga, Nur Izzara Rizqi pada Februari lalu, bapa saya, Abdul Rahim Hussain, 70, yang membawa suami dan menemaninya ke HPP kerana saya berpantang.

"Suami diberhentikan kerja, manakala saya juga terpaksa berhenti kerja kerana mahu memberi tumpuan kepada suaminya menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

"Segala kos rawatan dibayar menggunakan wang sendiri dan makin berkurangan setakat ini tambahan pula suami pakai beg stoma pada saluran najis yang perlu dibeli sendiri," katanya.

Katanya, mereka menggunakan wang sumbangan untuk membiayai kos rawatan, ulang-alik ke hospital serta persekolahan anak-anak selain menerima tempahan nasi lemak, nasi arab atau nasi tomato.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 7046382026 atas nama Mohamad Idris Md Desa.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal turut menghulurkan sumbangan kepada pesakit termasuk wang tunai dan barangan keperluan dapur serta memberi sokongan supaya meneruskan rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 11:54 AM