Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kebahagiaan suri rumah, Nurul Suhaida Othman, 28, dan keluarga berubah sekelip mata apabila dia disahkan menghidap barah tulang paha, bulan lalu.

Dia disahkan menghidap penyakit itu selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) September lalu kerana kaki kanannya bernanah dan bengkak.

Sejak itu, dia kini hanya terlantar dan semua urusan termasuk makan minum, menukar pakaian dan membersihkan badan dilakukan suaminya, Muhammad Asmadi Ahmad, 32.

"Mulanya saya hanya demam sebelum menyedari paha bengkak dan ada nanah tetapi ketika saya hanya berubat secara tradisional, malangnya sakit bertambah teruk.

"Lama-kelamaan bengkak makin besar dan akibat tidak tahan sakit, saya terpaksa menghubungi ambulans untuk ke hospital," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Nawa di sini, hari ini.

Nurul Shuhaida berkata, sehingga hari ini kaki kanannya sakit menyebabkan dia tidak dapat melelapkan mata.

Katanya, sebelum ini dia yang menguruskan makan minum mereka sekeluarga termasuk menghantar anak sulung, Afiq Haiqal Muhammad Asmadi, 9, ke sekolah dan menjaga Nur Qaseh Syifa Aryana, 2, serta abang iparnya, Asri Ahmad, 40-an yang mempunyai masalah tekanan jiwa.

"Sebelum ini saya dan suami memberi tumpuan kepada Nur Qaseh Syifa Aryana menjalani rawatan di hospital akibat penyakit jantung yang dihidapinya sejak lahir.

"Selepas dia beransur sembuh, saya pula yang sakit dan tak sangka akan menghidap barah kerana sebelum ini saya sihat dan cuma mempunyai tekanan darah rendah.

"Suami mengambil upah sebagai pemandu jentolak dengan pendapatan sekitar RM70 sehari tetapi sejak sakit dia tidak dapat bekerja kerana perlu menguruskan saya," katanya.

Nurul Suhaida berkata, disebabkan perlu mencari wang untuk kehidupan keluarga selain membayar kos rawatan di hospital, anak mereka, Afiq Haiqal tidak dapat ke sekolah kerana bergilir menjaganya di rumah manakala suaminya pula keluar bekerja.

Katanya, dia pula akan menjalani rawatan susulan di HSB pada 9 Oktober ini untuk mendapatkan tarikh bagi pembedahan kedua pada kakinya itu.

"Kalau suami pergi kerja, anak saya tak pergi sekolah sebab kena bantu saya cuci luka di paha selain menyuap makanan untuk saya, dan kalau anak pergi sekolah, suami tak dapat bekerja kerana tak ada siapa nak uruskan saya pula.

"Kami buntu fikir untuk cari sumber kewangan memandangkan pendapatan suami tidak cukup kerana dia hanya memperoleh gaji harian," katanya.

"Sekarang ini suami sanggup buat apa jua kerja kampung asalkan dapat duit untuk membayar kos rawatan saya walaupun nak kumpul duit memang lambat," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam Nurul Shuhaida 02-075-02-029911-0.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi pesakit itu menyampaikan sumbangan wang tunai, barang keperluan dapur serta susu formula khas untuk kegunaan Nurul Shuhaida.

Zuraini berkata, pihaknya akan menghantar segera bantuan katil pesakit, tongkat serta kerusi roda kepada pesakit itu untuk memudahkan dia bergerak.

Katanya, pesakit perlukan sokongan moral daripada keluarga dan CSM bersedia untuk membantu apa jua yang diperlukan.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser paha, Nurul Suhaida Othman ketika menziarah pesakit itu di rumahnya di Kampung Nawa. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Pengerusi CSM, Zuraini Kamal (kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser paha, Nurul Suhaida Othman ketika menziarah pesakit itu di rumahnya di Kampung Nawa. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 11:03 AM