KANSER tulang lebih mudah menyerang kanak-kanak berbanding orang dewasa.
KANSER tulang lebih mudah menyerang kanak-kanak berbanding orang dewasa.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


"ANAK saya terjatuh ketika bersukan menyebabkan kakinya cedera dan bengkak. "Namun, bengkak kaki masih tidak surut, sebaliknya semakin membesar.

"Malah kesakitan dialami anak juga tidak berkurangan walaupun sudah mengambil ubat penahan sakit."

Itu antara penjelasan yang sering diberikan ibu bapa kepada pakar ortopedik dan onkologi apabila ditanya mengenai penyakit dihadapi anak mereka.

Ketua Jabatan Surgeri Ortopedik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Prof Madya Dr Nor Faissal Yasin berkata, PPUM sering menerima kes seperti ini membabitkan pesakit kanak-kanak yang mengalami bengkak pada kaki.

Malah ada ibu bapa menyangka puncanya akibat terjatuh.

Menurutnya, punca bengkak pada kaki bukanlah disebabkan kecederaan terjatuh, tetapi secara kebetulan, kemungkinan barah sudah terbentuk pada kaki kanak-kanak terbabit.

"Tetapi, apabila dia terjatuh dan terkena di bahagian kaki yang ada barah, ia menyebabkan kawasan itu cedera, sakit serta bengkak.

"Penyakit barah tulang lebih mudah menyerang kanak-kanak berbanding orang dewasa," katanya.

Dr Nor Faissal berkata, barah tulang bermaksud barah yang membabitkan sel tulang yang tidak normal membiak serta membesar tanpa kawalan di dalam badan.

"Sel barah tulang jika tidak dikesan pada peringkat awal akan merosakkan tulang, mengakibatkannya (tulang) menjadi lemah dan akan merebak ke organ lain terutama paru-paru.

"Sehingga kini, masih tidak diketahui punca utama seseorang itu mendapat barah tulang.

"Ada segelintir individu berisiko tinggi untuk mendapat barah tulang sekiranya dia pernah menjalani rawatan radioterapi berhampiran kawasan tulang akibat penyakit barah lain.

"Kesan jangka panjang rawatan ini (radioterapi) berisiko menjadi barah tulang," katanya.

Kata Dr Nor Faissal, bagaimanapun, peratusan individu menghidap barah kesan daripada radiasi ini (radioterapi) adalah rendah iaitu sekitar lima peratus.

Mereka ini perlu dipantau dalam jangka masa panjang.

Dr Nor Faissal berkata, punca lain yang boleh menyebabkan barah tulang ialah penyakit genetik seperti 'familial retinoblastoma' dan 'paget's disease' iaitu keadaan tulang tidak normal dan berubah kepada barah tulang.

"Walaupun pada mulanya, ketumbuhan tidak berbahaya (benign), lama-kelamaan ia boleh berubah menjadi sejenis barah tulang yang serius. Contohnya osteosarkoma atau kondrosarkoma.

"Selain itu, ada kalanya, ia berpunca daripada jangkitan tulang yang kronik (osteomyelitis) yang akhirnya berisiko mendapat barah tulang," katanya.

Ditanya mengenai gejala barah tulang, Dr Nor Faissal berkata, gejala penyakit ini tidak spesifik menyebabkan ramai pesakit tidak menyedari mereka menghidap barah tulang.

Jelasnya, sebagai contoh, pesakit berasakan kesakitan pada sendi, tetapi menganggap ia sakit sendi biasa yang berkemungkinan disebabkan faktor usia.

"Mereka datang bertemu doktor setelah tidak lagi mampu menanggung kesakitan itu yang tidak berkurangan walaupun mengambil ubat tahan sakit. Namun, penyakit ini dikesan sudah di peringkat akhir.

"Ada kalanya kesakitan dirasai di bahagian tulang dan kesakitan berterusan ini menjadi lebih teruk pada waktu malam atau semasa berehat.

"Penyakit ini tidak menunjukkan gejala bengkak dan benjol pada peringkat awal penyakit. Ia mula kelihatan bengkak apabila penyakit sudah di peringkat akhir," katanya.

Beliau berkata, penyakit ini sangat sukar dikesan dalam kalangan pesakit kanak-kanak kerana mereka tidak mengadu kesakitan kepada ibu bapa dan juga tiada bengkak dan benjolan pada bahagian kaki atau tangan.

"Barah tulang agak agresif berbanding penyakit barah lain kerana jangka masa penyakit ini menjadi serius (peringkat akhir) adalah singkat iaitu antara tiga hingga enam bulan.

"Pada tahap ini, bengkak bukan sahaja semakin membesar tetapi juga mengeras dan kemerahan di bahagian yang sakit itu.

"Sesiapa yang mengalami benjolan bersaiz lebih lima sentimeter dinasihati segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut kerana ia mungkin barah tulang," katanya.

Menurutnya, dua kategori individu berisiko menghidap barah tulang iaitu kanak-kanak hingga dewasa yang berusia awal 20-an dan mereka berusia 40 tahun ke atas kerana kesan daripada rawatan radiasi serta jangkitan tulang kronik.

Menyentuh bahagian tulang yang paling kerap diserang barah, Dr Nor Faissal berkata, ia adalah di bahagian tulang panjang seperti femur dan tibia (paha dan kaki), humerus (berdekatan bahu) serta pelvis (tulang pinggul).

"Ini kerana bahagian tulang terbabit mempunyai banyak sel darah yang menggalakkan sel barah membiak dengan lebih agresif.

"Rawatan biasa untuk merawat barah tulang ialah kemoterapi dan pembedahan bagi membuang tulang yang rosak.

Kemoterapi diberi sebelum dan selepas pembedahan tulang.

Beliau berkata, contoh rawatan kemoterapi untuk barah tulang jenis osteosarkoma ialah, kemoterapi diberi tiga pusingan sebelum pembedahan dan baki tiga pusingan diberikan selepas pembedahan.

"Tujuan kemoterapi adalah untuk membunuh sel barah yang merebak di dalam badan. Tanpa kemoterapi, pesakit tidak boleh mendapatkan rawatan yang lengkap dan pembedahan sahaja tidak mencukupi" katanya.

"Setelah lengkap rawatan ini, peratusan pesakit sembuh daripada penyakit itu ialah kira-kira 70 peratus dan dapat memanjangkan jangka hayatnya sehingga lebih lima tahun.

"Manakala barah tulang jenis sarkoma ewing pula, ada kalanya perlu diberikan rawatan radioterapi sebagai pengganti pembedahan.

"Ini kerana barah tulang jenis ini (sarkoma ewing) selalu berlaku di tulang pinggul (pelvis) dan tulang belakang (sacrum) yang bahagian ini amat susah untuk dibedah dan mempunyai komplikasi sangat tinggi.

"Pesakit barah tulang yang tidak menjalani sebarang rawatan mempunyai 60 hingga 70 peratus risiko meninggal dunia dalam masa terdekat selepas didiagnosis penyakit berkenaan," katanya.

Dr Nor Faissal berkata, PPUM menjadi daripada pusat rujukan untuk rawatan barah tulang dan banyak menerima kes pesakit dari Melaka, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

"Tahun ini, bilangan pesakit barah tulang didapati meningkat disebabkan banyak kes tertangguh sebelum ini ekoran pandemik Covid-19.

"Ramai pesakit datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Walaupun penyakit ini agak jarang berlaku tetapi ia perlu diberikan perhatian kerana risiko kematian agak tinggi jika tidak dirawat pada peringkat awal.

"Ini kerana, sel barah tulang sangat agresif dan cepat merebak ke organ lain. Jika ia terjadi (merebak ke organ lain), maka jangka hayat pesakit menjadi singkat," katanya.

Seer.cancer.gov melaporkan, kira-kira 3,910 kes baharu didiagnosis dengan mencatatkan 2,100 kematian di Amerika Syarikat tahun ini.

Beliau berkata, kemajuan teknologi perubatan memberikan harapan baharu kepada pesakit barah tulang yang mana mereka dapat menyelamatkan kaki daripada dipotong.

Tambahnya, pakar perubatan akan membuang bahagian barah tulang pada kaki dan kemudiannya digantikan dengan sendi baharu (endoprosthesis).

"Sendi baharu ini boleh digunakan seperti tulang asal dan mempunyai jangka hayat antara 10 hingga 15 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 7:00 AM