DR Vinod dan Tham. FOTO Ihsan Suruhanjaya Tinggi Britain ke Malaysia.
DR Vinod dan Tham. FOTO Ihsan Suruhanjaya Tinggi Britain ke Malaysia.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia iaitu seorang doktor gigi yang sudah bersara Dr Vinod Kumar Joshi dan seorang pemandu pengembara Tham Yau Kong akan menerima Anugerah Kehormat daripada kerajaan United Kingdom, demikian menurut Senarai Anugerah Kehormat yang diumumkan di UK hari ini.

Dr Vinod Kumar akan menerima anugerah Officer of the Order of the British Empire (OBE) bagi sumbangan beliau dalam memerangi kanser manakala Tham pula dianugerah Member of the Order of the British Empire (MBE) bagi sumbangannya dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, sejarah dan budaya.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay berkata, Dr Vinod Kumar telah mewujudkan rangkaian sokongan yang amat diperlukan bagi menghubungkan pesakit berfikiran serupa yang kemudian berkembang sebagai sebuah badan amal.

"Selain berkongsi banyak sumber mengenai kanser mulut, Dr Vinod Kumar dan yayasannya juga memainkan peranan dalam menggalakkan ujian saringan kerana diagnosis awal mampu menyelamatkan nyawa," menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Tham pula layak menerima anugerah MBE atas jasanya dalam penemuan serta pemuliharaan laluan Perarakan Maut Sandakan-Ranau, satu lakaran sejarah yang penting bagi UK dan Malaysia.

"Tham juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan penyelidikannya dengan golongan pelajar serta Angkatan Bersenjata UK selain mendekatkan orang ramai dengan anak cucu tawanan perang yang terbabit," katanya.

Dr Vinod Kumar, yang juga Pengasas Yayasan Kanser Mulut di UK, menyifatkan anugerah itu sebagai satu pengiktirafan kepada ketabahan semua pesakit, kakitangan dan sukarelawan dalam mengekalkan visi badan amal itu sejak penubuhannya manakala Tham yang gembira usahanya diiktiraf berkata, beliau akan terus mengekalkan sumbangannya kepada sejarah ekologi dan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 11:44 PM