PENUNJUK perasaan berhimpun menuntut pembelaan kematian George Floyd. FOO AFP
PENUNJUK perasaan berhimpun menuntut pembelaan kematian George Floyd. FOO AFP
Nadir Al-Nuri

BANGSA kulit putih sudah lama merasakan diri mereka sebagai orang yang bertanggungjawab membawa kemajuan dan kehidupan yang lebih baik kepada bangsa lain.

Ia dipanggil sebagai The White Man's Burden, tanggungjawab The West membaiki The Rest.

Istilah yang dimasyhurkan pada 1899 oleh penulis Rudyard Kipling yang ketika itu menekan Amerika Syarikat supaya mengambil alih kuasa ke atas Filipina kononnya atas dasar tanggungjawab, ia dikritik sebagai penjenamaan baru ke atas imperialisme.

Amerika mempunyai sejarah yang panjang di dalam memaksa bangsa lain yang dilihat inferior untuk tunduk kepadanya bermula penghujung kurun ke-19.

Imperialisme Amerika berterusan dalam dunia moden dengan penjajahan bentuk baharu apabila pendekatan ketenteraan diambil alih kekuatan ekonomi. Instrumen seperti agensi USAID, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia digunakan untuk berkongsi kedaulatan dan kuasa sebagaimana yang disebut oleh pakar politik Amerika Stephen Krasner 'kerajaan yang ditadbir dengan lemah tidak akan mampu memperbaiki negara sendiri kerana tiada upaya mengurus dan mengekalkan keamanan, justeru perlu kepada pemegang amanah dan perkongsian kedaulatan.'

Perangai Amerika yang begitu memandang tinggi kepada upayanya membawa kemakmuran dan meletakkan diri mereka sebagai 'tuan dunia' pastinya bukan sesuatu yang baru.

Negara orang putih lain sebelumnya seperti Perancis, Sepanyol, Portugis dan Britain sudah lama menjulang diri sendiri sebagai kuasa yang berhak ke atas negara lain yang dijajah.

Penjajahan British bermula pada kurun ke-17 dan hanya berakhir sekitar 1940-an dengan menghadiahkan Palestin kepada Zionis. Ia menandakan ratusan tahun penyiksaan, pembunuhan, penahanan dan kezaliman ke atas penduduk yang dijajah, kadangkala sehingga melibatkan pembunuhan besar-besaran seperti pembunuhan Amritsar pada 1919 dan pembunuhan tentera upahan India 'sepoy' pada 1857.

Tetapi, sehingga ke hari ini pemimpin United Kingdom seperti David Cameron dan Tony Blair masih menepuk dada bangga tanpa merasakan peluasan kuasa tidak diundang yang mewujudkan The Great British Empire tidak lain hanyalah penjajahan dan penindasan yang dicat dengan warna-warni indah supaya kelihatan tidak salah.

Keangkuhan inilah yang didokong pada hari ini sehingga semua bangsa lain dilihat berada di bawah bangsa kulit putih. Sentimen inilah yang menyebabkan perarakan besar-besaran terjadi di Amerika Syarikat dan seluruh dunia akibat pembunuhan seorang kulit hitam bernama George Floyd.

George Floyd bukan si kulit hitam pertama yang dibunuh oleh polis. MappingPoliceViolence.org mencatatkan pada 2019 saja 1,099 orang dibunuh oleh polis dengan 24 peratus daripadanya bangsa berkulit hitam walaupun mereka hanya merangkumi 13 peratus daripada penduduk. Bangsa kulit hitam juga mempunyai potensi tiga kali ganda lebih tinggi untuk dibunuh berbanding orang berkulit putih. Justeru, percaya atau tidak 99 peratus daripada pembunuhan yang dibuat oleh polis Amerika sejak 2013 sehingga 2019 tidak berakhir dengan pendakwaan pegawai polis yang terbabit.

Justeru, kemarahan penduduk pada hari ini bukan saja disebabkan ketidakadilan antara kaum, tetapi juga letusan gunung berapi yang meledak akibat kuasa tanpa akauntabiliti yang ada pada pemegang kuasa berbaju biru.

Apa pula nasib penduduk di bumi kecil bernama Palestin? Nasib mereka tidak jauh berbeza. Bangsa Yahudi juga sudah lama mengangkat diri sendiri sebagai the chosen people sejak awal penerapan ideologi Zionisme. Mereka menjaja bangsa lain sebagai inferior, malah tidak membenarkan perkahwinan selain sesama mereka.

Oleh sebab itulah, pembunuhan penduduk Palestin ibarat membunuh tikus saja, termasuk pembunuhan terbaru Eyad Al-Hallaq, pemuda autistik berusia 32 tahun yang ditembak mati pada 30 Mei lalu di Kota Al-Quds, tanpa khabar pembunuhannya mendapat perhatian mana-mana media prima Barat.

Di saat dunia melaungkan slogan Black Lives Matter, ternyata dunia yang sama bisu daripada melaungkan slogan Palestinian Lives, Also Matter.

Penulis rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin. Sumbangan secara terus kepada penduduk Gaza boleh disalurkan melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 7:00 AM