SHAHIDAN (dua kiri) pada merasmikan Menara Penguatkuasa. FOTO Bernama
SHAHIDAN (dua kiri) pada merasmikan Menara Penguatkuasa. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pentadbiran Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelum ini beroperasi di Jalan Tun Razak di sini, mula beroperasi sepenuhnya di bangunan baharu secara rasmi mulai hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, bangunan yang dinamakan Menara Penguatkuasa itu, yang terletak di Bandar Tun Razak, Cheras, bakal menjadi lambang kehebatan DBKL dalam membentuk penguasa bandar raya sekali gus merealisasikan aspirasi Kuala Lumpur sebagai bandar raya sejahtera untuk semua menjelang 2030.

Beliau berkata, menara 15 tingkat itu turut dilancarkan bersama Pelan Strategik Penguatkuasaan DBKL 2022-2026 bertujuan mewujudkan terma dan panduan kepada jabatan tersebut serta pihak berkepentingan dalam merancang dan memastikan pembangunan ibu negara terus berkembang maju seiring pemantauan dan penguatkuasaan holistik.

"Ini secara tidak langsung akan membuka ruang dan peluang untuk pelabur membuat pelaburan di Kuala Lumpur dan pada masa sama ia akan dapat meningkatkan ekonomi negara," katanya ketika merasmikan menara yang melibatkan kos kira-kira RM149 juta itu hari ini.

Menara baharu itu terdiri daripada bangunan 15 tingkat dan blok depoh kenderaan sembilan tingkat, dilengkapi bilik siap siaga, auditorium, bilik kawalan operasi serta padang kawad.

Pada majlis sama, Shahidan turut mengumumkan pakaian seragam serta pemakaian pangkat baharu jabatan tersebut yang berkuat kuasa hari ini melibatkan 1,425 pegawai dan anggota.

Sementara itu, DBKL dalam kenyataan memaklumkan telah membawa 107,547 notis yang masih tidak dijelaskan pesalah lalu lintas ke mahkamah dan sehingga 31 Disember tahun lalu, 4,914 disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

DBKL mengambil langkah dengan memberi tawaran kadar khas kompaun kepada warga kota untuk menyelesaikan notis kompaun tertunggak bagi mengelakkan tindakan disenaraihitamkan, berkuat kuasa 16 Feb hingga 30 Jun bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Jubli Emas Bandaraya Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 2:48 PM