DBKL mengeluarkan kompaun dan menutup premis menjaja khunafa dan manisan arab di Bukit Bintang. FOTO Ihsan DBKL
DBKL mengeluarkan kompaun dan menutup premis menjaja khunafa dan manisan arab di Bukit Bintang. FOTO Ihsan DBKL
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kompaun dan menutup premis menjaja khunafa dan manisan arab di Bukit Bintang yang beroperasi tanpa lesen sah semalam.

Malah sebelum itu turut tular aksi pelanggan yang diminta menari dan berjoget ketika ingin mendapatkan manisan itu sehingga mendapat kecaman orang ramai.

DBKL dalam kenyataan berkata, Jabatan Penguatkuasaan DBKL sebelum ini sudah menjalankan pemantauan di premis terbabit.

Menurutnya, hasil daripada pemantauan yang dijalankan mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen yang sah daripada DBKL untuk sebarang aktiviti menjaja.

"Premis itu hanya mempunyai lesen hiburan semasa (promosi luar bangunan). Selain itu, aktiviti perniagaan terbabit turut dikendalikan oleh warga asing tanpa permit yang sah.

"Susulan daripada hasil pemantauan itu, satu operasi penguatkuasaan dijalankan di premis terbabit semalam," katanya.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan itu, satu notis kompaun dikeluarkan mengikut UUK3 (1) UUK Pelesenan Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah dari DBKL dan premis itu turut diambil tindakan tutup serta merta (SEALED) mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

"Dalam operasi sama DBKL turut menjalankan operasi penguatkuasaan di sebuah premis yang lain. Hasil pemantauan yang dijalankan mendapati premis itu meletakkan dua meja kayu bulat dan empat kerusi di atas siar kaki di tempat awam tanpa kebenaran DBKL.

"Sehubungan itu, DBKL mengeluarkan satu notis kompaun serta membuat sitaan terhadap kerusi meja yang menyebabkan halangan di tempat awam mengikut Seksyen 46 (1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 4:38 PM