ANGGOTA Bomba membuat persiapan sebelum melakukan semburan di Menara City One, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA Bomba membuat persiapan sebelum melakukan semburan di Menara City One, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 20 anggota bomba dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan 10 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan proses nyahcemar di Menara Plaza City One, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Eirwan Hussain berkata, proses sanitasi dan nyahcemar melibatkan dua blok bangunan berkenaan.

"Satu blok mempunyai 43 tingkat manakala satu lagi 47 tingkat akan di nyah cemar pada hari ini. Seramai 20 anggota bomba dan 10 kakitangan KKM digerakkan untuk melakukan proses nyahcemar di bangunan ini.

"Proses ini sudah bermula pada 11 pagi tadi dan dijangka siap pada 1 tengah hari ini. Kita menganggarkan dapat siap dalam tempoh dua jam," katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Eirwan berkata, proses nyahcemar hanya dilakukan di luar bangunan dan setiap tingkat bangunan berkenaan.

"Proses ini tidak melibatkan nyahcemar di dalam rumah, hanya bahagian luar di setiap tingkat dan bangunan ini akan dinyahcemar.

"Operasi nyahcemar ini dilakukan besar-besaran bagi membersihkan seluruh bangunan Menara Plaza City One," katanya.

Pada 1 April lalu, Menara Plaza City One dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan jumlah positif Covid-19 yang tinggi di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 1:24 PM