Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras tidak bercukai membabitkan nilai rampasan RM1.5 juta selain menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang berperanan sebagai penjaga stor dalam Op Kontraban, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih di dua premis kawasan perindustrian di Jalan Sungai Besi, di sini, hasil risikan yang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, serbuan pertama dilakukan jam 2 petang di sebuah premis dan menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 44 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis.

"Pemeriksaan menemui 108 kotak arak dan 116 karton arak pelbagai jenama bernilai RM230,832.74 termasuk cukai.

"Susulan penahanan suspek wanita itu dan soal siasat dilakukan membawa kepada serbuan kedua di sebuah lagi premis di lokasi sama pada jam 3.30 petang.

"Dalam serbuan itu, pasukan berjaya menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing masing-masing berusia 29 dan 31 tahun selain merampas sejumlah arak pelbagai jenama bernilai RM1.2 juta serta sebuah lori," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.

Menurut Zam Halim, siasatan awal mendapati rampasan minuman keras berkenaan diseludup masuk melalui pelabuhan dan laluan tikus sebelum menyimpannya di dua premis yang dijadikan stor.

Beliau berkata, minuman keras itu kemudian akan dihantar kepada peniaga yang berminat di sekitar Lembah Klang.

"Sindiket ini dikesan sudah beroperasi sejak awal tahun ini dan menjadikan kawasan perindustrian sebagai lokasi penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Ditanya sama ada polis sudah mengenalpasti dalang sindiket itu, beliau berkata, proses soal siasat masih berjalan termasuk bagi mengetahui kemungkinan terdapat suspek lain dan sindiket terbabit.

Katanya, seorang suspek tempatan direman empat hari bermula semalam sehingga 3 Oktober ini manakala dua suspek warga asing direman 14 hari sehingga 13 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 4:44 PM
Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin bersama pegawai menunjukkan antara arak seludup tidak bercukai yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin bersama pegawai menunjukkan antara arak seludup tidak bercukai yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI