Mohamed Farid Noh


Pontian: Beberapa Umno Bahagian di negeri ini menghantar permohonan untuk bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang sebelum ini ditandingi parti komponen Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan permohonan itu adalah kebiasaan dalam politik masa kini.

"Beberapa bahagian Umno memang ada menyuarakan mahu bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi BN.

"Bukan hanya di Dun Pulai Sebatang sahaja, malah beberapa kawasan yang lain dan Umno melihat semua permohonan dan desakan itu sebagai permohonan politik biasa.

"Akhirnya pucuk pimpinan pusat dan negeri akan buat keputusan muktamad," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Jamuan Muhibah Tahun Baharu Cina bersama Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, di sini, hari ini.

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media di Pontian, malam ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media di Pontian, malam ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Ahmad mengulas desakan beberapa Umno Bahagian yang dilaporkan mahu parti itu meletakkan calon mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu berbanding parti komponen yang menganggap ia kerusi tradisi mereka.

Antara yang membuat desakan itu termasuklah Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Datuk Senator Jefridin Atan, yang mahu calon parti itu diletakkan di Dun Kukup dan Pekan Nanas, berikutan majoriti kawasan terdiri daripada orang Melayu.

Mengulas mengenai calon BN, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, perkara itu masih belum dimuktamadkan.

"Siapa yang bertanding di mana akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Namun setakat hari ini calon belum dimuktamadkan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 11:41 PM