Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Beberapa pemimpin tertinggi Umno dan Barisan Nasional (BN) tiba di Bangunan Umno Johor, di sini, bagi menghadiri Majlis Perjumpaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama komponen BN Johor, hari ini.

Ahmad Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan tiba pada 11 pagi dipercayai bagi memuktamadkan agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Hadir sama, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Selain itu, Pengerusi Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad; Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Setiausaha MCA Johor, Ng Keng Heng dan Ketua Pemuda MIC, K Raven.

Petugas media daripada pelbagai agensi mula berkumpul di Bangunan Umno Johor seawal 9 pagi.

AHMAD Zahid (dua dari kiri) berbincang dengan Mohamad (kiri) pada perjumpaan, hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
AHMAD Zahid (dua dari kiri) berbincang dengan Mohamad (kiri) pada perjumpaan, hari ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Difahamkan perjumpaan hari ini bagi membincangkan soal pengagihan kerusi yang akan ditandingi parti komponen BN pada PRN tidak lama lagi.

Pada Isnin lalu, Umno dilaporkan mahu bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam PRN Johor.

Mohamad dilaporkan berkata, jumlah itu belum mengambil kira kerusi Dun bagi parti komponen BN.

Dalam pada itu, sumber Umno turut memaklumkan setakat ini Umno Johor kekal dengan keputusan awal untuk bertanding di 40 kerusi dalam PRN Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 11:41 AM