Mohamed Farid Noh

Pontian: Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan menolak desas- desus akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beliau sebaliknya akan memberikan tumpuan membantu jentera Barisan Nasional (BN) dan Umno pada pilihan raya itu nanti terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut yang akan ditandingi Pengerusi Umno Johor Datuk Hasni Mohammad.

"Jika dicari dalam kertas undi pada PRN Johor, nama saya tiada. Jadi dalam erti kata lain, saya mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi DUN di Pontian iaitu DUN Pulai Sebatang atau Benut.

"Namun saya tetap akan bantu Hasni yang juga Ketua Bahagian Umno Pontian dan Menteri Besar Johor untuk dicalonkan semula di DUN Benut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan sumbangan Tahun Baharu Cina di DUN Benut di sini, hari ini.

Ahmad mengulas desas-desus sebelum ini yang mendakwa beliau bakal bertanding di DUN Pulai Sebatang pada PRN Johor, nanti.

Ahmad Maslan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ahmad Maslan. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau ditugaskan melakukan tinjauan ke 56 DUN di Johor bermula hari ini, bagi mengadakan pertemuan tertutup dengan akar umbi Umno.

"Saya akan turun ke semua 56 DUN bagi menggerakkan jentera dan memastikan ia berjalan lancar manakala Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, pula akan memastikan kelancaran Bilik Gerakan Umno dan BN Johor.

"Saya bertemu akar umbi bagi mendengar suara hati mereka sebelum dapatan itu disampaikan terus kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Hasni.

"Umno dan BN mahu tawan semula kerusi yang kita kalah sebelum ini termasuk DUN Pulai Sebatang selain memastikan kemenangan berterusan di kerusi yang disandang.

"Saya harapkan jentera pilihan raya akan terus bekerja bagi memastikan kemenangan di semua 56 kerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 6:48 PM