SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO arkib NSTP
SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan senarai nama tular memaparkan nama 26 calon Barisan Nasional (BN) yang didakwa bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian berkata, senarai nama 26 calon yang tular itu adalah palsu.

Katanya, senarai calon yang sebenar hanya akan terjawab pada hari pengumuman calon BN Johor yang dijangka diadakan pada 2 November ini.

"Yang dulu (senarai) palsu, yang ini pun palsu juga.

"Saya sudah tahu (senarai calon sebenar) tetapi tidak boleh umum sehingga pengumuman calon BN Johor secara rasmi nanti," katanya ketika dihubungi.

Sejak malam tadi, tular senarai calon BN Johor pada PRU-15 di 26 Parlimen antaranya Pengerusi BN dan Umno Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang didakwa bertanding di Parlimen Simpang Renggam.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Pontian pula disenaraikan sebagai calon di Parlimen Pontian.

Nama Ahmad pula tidak disenaraikan dalam senarai yang tular itu.

Kerusi Parlimen Pontian sebelum ini hangat diperkatakan apabila Hasni yang juga Ketua Umno Bahagian Pontian dikatakan mahu bertanding di kerusi itu pada PRU-15.

Bagaimanapun Hasni yang juga Adun Benut masih berteka-teki berhubung kerusi yang bakal ditandingi namun timbul desas-desus menyatakan beliau bakal bertanding sama ada di Parlimen Pontian, Tanjung Piai atau Simpang Renggam.

Ahmad adalah Ahli Parlimen Pontian selama tiga penggal menang majoriti tipis iaitu 833 undian dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU-14.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 11:15 AM