Mohamed Farid Noh

Pontian: Keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti akan datang, masih belum dibuat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang ketetapan mengenai perkara itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), sehingga hari ini.

Katanya, perkara itu mungkin diputuskan pada Mesyuarat MKT Khas yang akan diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU) iaitu pada malam 12 Januari nanti.

"Itu (sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan) kita tunggu. Tidak ada sebarang keputusan mengenainya setakat hari ini.

"Namun saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini, kerana kita masih ada masa sebelum PAU diadakan Januari nanti.

"Kita tunggulah. Januari nanti MKT Umno ada mesyuarat bulanan seperti biasa dan satu lagi kita ada Mesyuarat Khas MKT yang secara tradisinya akan diadakan pada malam sebelum PAU diadakan. Malam itu mungkin akan diputuskan mengenai perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pontian, di Api-Api, di sini, hari ini.

AHMAD Maslan pada sidang media di Pusat Khidmat Api Api, Taman Seri Api Api, Pontian. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AHMAD Maslan pada sidang media di Pusat Khidmat Api Api, Taman Seri Api Api, Pontian. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Semalam, EXCO Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, dilaporkan berkata, Umno akan menempah episod hitam sekali lagi jika jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan.

Muhamad Muqharabbin dilaporkan berkata, kedua-dua jawatan berkenaan wajar dipertandingkan dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada tahun depan.

Beliau dilaporkan berkata, sekiranya benar terdapat usaha untuk menghalang kedua-dua jawatan itu dipertandingkan, Umno akan semakin hilang arah dan identiti perjuangan.

Pada 8 Disember lalu, Umno dilaporkan menafikan terdapat sebarang perbincangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Pontian dilaporkan berkata, isu itu juga langsung tidak berbangkit atau dibincangkan pada Mesyuarat MKT yang diadakan pada 7 Disember lalu.

Sehubungan itu, Ahmad mengecam penularan infografik, kononnya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak akan ditandingi yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab sekali gus menimbulkan keresahan akar umbi parti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 4:23 PM