Mohamad Hasan ketika sidang media. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamad Hasan ketika sidang media. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: UMNO dan Barisan Nasional (BN) belum memuktamadkan sama ada akan bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu masih diteliti dengan mendalam.

"Kita kena melihat dan kaji dengan teliti (kerjasama dengan PAS). Ini kerana majoriti kepimpinan di semua peringkat bahagian serta akar umbi, mahukan BN bergerak berseorangan dalam PRN ini.

"Namun di peringkat pemimpin tertinggi, kita akan meneliti dengan sebaik-baiknya, sebelum apa jua keputusan dibuat supaya mendatangkan faedah dan kebaikan kepada BN dan bukan sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pertemuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan komponen BN Johor, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid meninggalkan perkarangan Bangunan UMNO Johor selepas pertemuan bersama komponen BN berkenaan kerana difahamkan untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, tengah hari tadi.

Jumaat lalu, PAS dilaporkan akan mengadakan perbincangan dengan UMNO bagi membentuk kerjasama sebagai persediaan menghadapi PRN Johor.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan rakan parti lain bagi memantapkan kerjasama pada pilihan raya berkenaan.

Ahad lalu pula, PAS Johor pula dilaporkan berharap ada harapan untuk Muafakat Nasional (MN) bersama pada PRN Johor.

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin, dilaporkan berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, yang juga Menteri Besar, dalam masa terdekat.

Ditanya pandangan penganalisis politik yang meramalkan BN sukar mencapai kemenangan dua pertiga jika bergerak secara solo pada PRN Johor, Mohamad berkata, perkara yang sama turut diramalkan berlaku pada PRN Melaka.

"Setuju atau tak setuju pandangan penganalisis (BN sukar capai dua pertiga jika bergerak solo), tak penting. Ia turut diperkatakan di Melaka tapi hasilnya BN menang dengan selesa di sana.

"Siapa pun boleh jadi ahli nujum, namun apa yang penting gerak kerja jentera mestilah berkesan. Kita juga mempunyai asas pengundi yang ramai dan setia. Pengundi asas ini perlu kita jaga supaya ia kekal bersama kita ketika pengundian berlangsung.

"Apa yang penting juga supaya kita dapat yakinkan pengundi atas pagar, yang dahulu terpesona dengan janji manis pembangkang supaya kembali semula bagi membolehkan BN diberikan mandat yang lebih selesa bagi membolehkan kerajaan yang lebih mantap," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, UMNO dan BN juga masih belum memuktamadkan calon parti berkenaan bagi menghadapi PRN Johor.

"Agihan kerusi masih belum dimuktamadkan lagi. Ini kerana proses perlu dilakukan lebih teliti. Biarlah pimpinan negeri melakukan proses ini sebelum semua calon dimuktamadkan," katanya.

Mengulas mengenai sama ada UMNO serta BN bimbang dengan ura-ura lebih banyak parti akan bertanding pada PRN Johor, beliau menyambut dengan tangan terbuka saingan yang akan diberikan.

"Lebih ramai, lebih bagus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 3:03 PM