GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan telur ayam meskipun ada beberapa kawasan dikatakan mengalami kelewatan penghantaran bekalan.

Tinjauan di beberapa pasar raya dan kedai runcit sekitar bandar raya ini mendapati bekalan masih banyak malah ada yang didapati baru tiba.

Bagaimanapun, harga telur ayam masih agak tinggi mengikut gred iaitu antara RM17 hingga RM19.90 sepapan.

Peniaga kedai runcit yang ditemui berkata, bekalan sentiasa ada walaupun kadang-kadang pembekal lewat menghantarnya.

"Setakat ini memang tiada masalah bekalan telur dihadapi di Kuching dan saya difahamkan pengeluaran di Sarawak terutamanya di ladang ternak di Serian memang cukup tinggi.

"Kami juga dimaklumkan oleh pembekal, telur ayam mencukupi untuk kegunaan musim perayaan Krismas," kata peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Boon.

Bagaimanapun, difahamkan beberapa kawasan di utara Sarawak menghadapi sedikit masalah berikutan penghantaran bekalan yang tidak menentu.

Seorang suri rumah di Miri, Maliah Yusof, 54, berkata, permintaan telur ayam meningkat berikutan ramai yang membuat kek sebagai persiapan untuk menyambut perayaan Krismas minggu hadapann.

"Masalah kekurangan telur tidak lama sebenarnya kerana biasanya apabila bekalan tiba, ramai yang menyerbu pasar raya untuk mendapatkannya kerana telur diperlukan untuk membuat kek.

"Tetapi biasanya pembekal akan membuat penghantaran segera ke pasar raya atau kedai runcit," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, tinjauan mendapati kebanyakan pasar raya dan kedai runcit kehabisan bekalan minyak masak dalam paket satu kilogram.

Seorang pekerja sebuah pasar raya di Batu Kawa berkata, pembekal biasanya menghantar bekalan minyak masak paket itu setiap hari, namun ia habis dalam masa singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 2:43 PM