Skuad negara akan beraksi di klasifikasi pertama hingga keeempat. FOTO AHF
Skuad negara akan beraksi di klasifikasi pertama hingga keeempat. FOTO AHF
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara mengesahkan slot klasifikasi pertama hingga keempat Piala Asia selepas mencatat kemenangan tipis 5-4 ke atas Indonesia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan di Taldykorgan, Kazakhstan sebentar tadi.

Menurut ketua jurulatih, Rodzhanizam Mat Radzi, mereka sekali lagi mencatatkan kemenangan penting selepas anak buahnya memberikan persembahan terbaik.

"Segala perancangan diikuti dengan baik oleh pemain. Semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh mereka semua. Keinginan untuk menang begitu tinggi, pujian harus diberikan kepada setiap pemain.

"Walaupun masih lagi ada kesilapan yang mudah dilakukan oleh pemain, mereka bangkit untuk menutupnya. Tahniah kepada semua pemain bermain mengikut perancangan yang dibuat oleh barisan kejurulatihan," katanya.

Ketua pasukan Najmi Farizal Jazlan meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat dan 29.

Bagaimanapun, gol kemenangan berjaya dihasilkan Faridzul Afiq hasil gol padang di minit ke-35.

Turut mencetak nama sebagai penjaring buat skuad negara ialah Firdaus Omar (m-9) dan Aslam Mohamed Hanafiah (m-20).

Gol Indonesia disumbangkan Muhamad Alfiana pada minit ke-31 dan 32, manakala dua gol lagi disumbangkan Revo Priliandro (m-24) dan Adi Leksono (m-37).

Kejayaan Malaysia turut dibantu dengan mencatat kepeutusan seri 3-3 ketika berdepan tuan rumah, pada aksi lebih awal hari ini.

Keputusan berkenaan dibantu dua jaringan pukulan sudut penalti hujung saingan melalui Najmi Farizal.

Kazakhstan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi jaringan padang Tashkeyev Yermek pada minit kedua sebelum Faridzul menyamakan kedudukan pada minit ke-15 melalui pukulan sudut penalti.

Dua minit kemudian Yermek kembali meletakkan tuan rumah di depan hasil pukulan sudut penalti, sebelum Duisengazy Agymtay meletakkan mereka di depan berpunca daripada gol padang di minit ke-34.

Selain Malaysia, Iran dan Thailand turut layak ke klasifikasi pertama hingga keempat ialah tuan rumah Kazakhstan dengan keempat-empat pasukan memburu dua tempat teratas untuk mara ke final sekali gus layak ke Piala Dunia 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 11:50 PM