TRAGEDI Balai Polis Ulu Tiram mengejutkan negara.
TRAGEDI Balai Polis Ulu Tiram mengejutkan negara.
Isma Ismail


Jumaat lalu terlakar satu peristiwa hitam apabila dua perwira negara gugur selepas ditetak dan ditembak dalam serangan seorang pemuda di Balai Polis Ulu Tiram, Johor.

Pemuda berusia 21 tahun itu turut maut di lokasi selepas ditembak yang juga mencederakan seorang lagi anggota balai polis berkenaan.

Belum reda dengan kejutan peristiwa itu, berlaku pula kejadian seorang lelaki cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota di pintu pagar Balai Polis Dato Keramat di Pulau Pinang pada jam 4 pagi Ahad lalu.

Lelaki yang berusia 35 tahun itu, mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Kedua-dua kes berkenaan memang tiada kaitan antara satu sama lain, tetapi situasi yang berlaku menunjukkan sesuatu perlu dilakukan supaya kawalan di balai polis perlu ditambah baik dan diperketatkan lagi.

Paling segera, apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sendiri sudah mengeluarkan arahan supaya semua pegawai dan anggota polis dapat memperketatkan kawalan di semua balai polis di seluruh negara susulan tragedi di Ulu Tiram.

Malah, beliau turut mengarahkan pasukan polis melakukan kawalan ketat ke atas kawasan membabitkan individu berprofil tinggi termasuk kawasan istana. Ia juga susulan daripada kejadian yang berlaku pada hari serangan di Balai Polis Ulu Tiram apabila dua lelaki ditahan selepas cuba menceroboh masuk ke Istana Negara,

Bukan itu saja, kawalan ketat juga perlu dilakukan di ibu pejabat polis di peringkat daerah dan negeri kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Kita tidak mahu sejarah hitam di Ulu Tiram itu berulang lagi, ia juga bukan kali pertama balai polis diserang.

Cukup diingati ramai adalah serangan 185 pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong di Muar Johor pada jam 5 pagi 23 Februari 1950.

Dalam kejadian itu, seramai 26 orang termasuk anggota balai, ahli keluarga mereka, polis bantuan dan pengawal kampung gugur dalam serangan berdarah itu.

Umum mengetahui, Balai Polis Bukit Kepong bukan yang pertama diserang di negara ini kerana Balai Polis Kuala Krau di Temerloh, Pahang pernah juga menjadi sasaran serangan pengganas komunis. Dua kali balai itu diserang komunis, serangan pertama berlaku 26 Jun 1948 dan kejadian kedua berlaku pada 11 September tahun sama.

Turut tercatat serangan pada 12 April 1963 terhadap Balai Polis Tebedu di Serian, Sarawak oleh gerila dari negara jiran yang mengorbankan seorang anggota balai itu. Ini adalah antara serangan terhadap balai polis ketika zaman ancaman komunis dan darurat.

Manakala, pada era 80-an turut tercatat sejarah hitam apabila sekumpulan lelaki didalangi pengikut ajaran sesat dipimpin Mohd Nasir Ismail menyerang Balai Polis Batu Pahat, Johor. Serangan itu berlaku pada pagi 16 Oktober 1980 apabila balai polis berkenaan didatangi kira-kira 15 lelaki yang menaiki teksi dan kereta pada jam 9.30 pagi dengan semuanya berjubah putih, menutup muka dan bersenjatakan pedang samurai.

Susulan serangan itu, 23 orang termasuk 15 daripadanya anggota polis parah dan enam daripada penyerang berjaya ditembak mati. Juga pernah dilaporkan kejadian di Balai Polis Guar Chempedak di Kedah diserang sekumpulan individu daripada kumpulan yang terpengaruh dengan pelampau antarabangsa dipercayai cuba merompak senjata api di balai itu sehingga menyebabkan dua anggota polis cedera pada 4 Februari 2001.

Pada 31 Ogos 2017, seorang anggota Balai Polis Pinggiran Subang di Selangor berpangkat Lans Koperal maut akibat ditembak dan ditetak dengan senjata tajam ketika bertugas
di balai polis terbabit. Rentetan peristiwa ini adalah wajar untuk memberi perhatian terhadap langkah memperketatkan kawalan seperti yang diarahkan Razarudin.

Bukan hanya kawalan lebih perlu diberikan kepada aset Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau tempat yang menempatkan individu berprofil tinggi, tetapi juga di kawasan strategik lain. Kawalan dan rondaan secara menyeluruh perlu diberi tumpuan di kawasan tumpuan orang ramai dan pintu keluar masuk negara ini termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang.

Biarpun, pelbagai kawalan ketat yang bakal dilakukan nanti, perlu juga mengambil kira supaya setiap usaha tidak menyukarkan urusan orang ramai yang masih perlu berurusan di balai polis, mungkin ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu ditetapkan supaya keselamatan semua pihak lebih terjamin.

Al-Fatihah buat Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang gugur di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024. Semoga roh kedua-dua anggota keselamatan ini dicucuri rahmat.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:59 AM