MONIOT Trail antara puncak yang dilalui sepanjang perjalanan.
MONIOT Trail antara puncak yang dilalui sepanjang perjalanan.
Mohd Faiz Ahmad Nadzri


Mendaki adalah salah satu sukan ekstrem yang penuh cabaran.

Aktiviti mendaki bukan sahaja memerlukan tahap kecergasan yang tinggi, malah kekuatan dan semangat tidak putus asa kerana ia perlu menempuh pelbagai rintangan serta halangan.

Baru-baru ini penulis bersama beberapa rakan iaitu Mohd Azlan Talib, Mohd Shahirul Aizat Asahari, Noor Shuliza Anum Md Desa dan Wan Noor Suhaila Wan Kamarudin berpeluang melakukan aktiviti mendaki Bukit Bendera, nun jauh di 'Pulau Mutiara', Pulau Pinang.

Bukit Bendera menjadi pilihan kami kerana ia memiliki keindahan flora dan fauna yang tersendiri.

Selain itu, trek pendakian hutannya juga memiliki tahap kesukaran untuk menguji keupayaan kami.

Daya tarikan lain adalah negeri itu juga menjadi destinasi syurga makanan yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

Kami melakukan aktiviti pendakian menggunakan laluan 'Squirrel Trail' sejauh 36 kilometer (km) membabitkan perjalanan hampir 17 jam.

PENULIS (tengah) bersama rakan di hadapan pintu Moon Gate sebelum memulakan ekspedisi.
PENULIS (tengah) bersama rakan di hadapan pintu Moon Gate sebelum memulakan ekspedisi.

Laluan berkenaan dihasilkan pendaki di Pulau Pinang yang menggunakan Global Positioning System (GPS) sehingga bmembentuk seperti seekor tupai bagi melengkapkan laluan itu.

Selain laluan tupai, ada beberapa laluan lain yang dihasilkan termasuk arnab dan unikorn.

Penulis dan rakan memulakan perjalanan dari Perak menaiki kereta pada jam 10.30 malam dan tiba di lokasi kira-kira dua jam kemudian.

Selepas berehat seketika dan membuat senaman pemanas badan, kami memulakan perjalanan tepat jam 1.20 pagi di depan pintu Moon Gate.

Laluan mendaki dari awal perjalanan menuju 'Mount Olivia' dalam keadaan gelap dan cuaca sejuk terasa begitu mencabar.

Sesama kami, saling mengingati supaya lebih berhati-hati untuk mengelakkan daripada sebarang bahaya yang tidak diundang.

Pendakian semakin mencabar apabila hujan lebat sekitar jam 4 pagi sehingga kami terpaksa memperlahankan sedikit rentak pendakian.

Ada banyak puncak yang kami lalui di sepanjang perjalanan antaranya Tanjung Bungah Hill, Western Hill, Bukit Laksamana, Bukit Cendana, Bukit Bendera, Mon Sejour dan Moniot Trail.

Setiap laluan itu menawarkan cabaran berbeza kerana mempunyai pelbagai bentuk muka bumi berbeza seperti curam, rata dan licin yang menguji kekuatan fizikal dan mental pendaki.

Selain itu, pengalaman menarik ketika ekspedisi sepanjang perjalanan adalah menempuh laluan dalam kegelapan.

Walaupun menggunakan lampu kepala, namun pemandangan kami masih terbatas dan perlu sentiasa berhati-hati.

Jujur penulis akui, sedikit sukar sebenarnya mendaki dan keadaan gelap dengan mod navigasi.

Serangga kecil yang jarang dilihat turut menarik perhatian kerana habitat aslinya dalam hutan.

Sepanjang perjalanan kami berhenti di beberapa lokasi untuk makan dan solat.

LALUAN mendaki yang menguji fizikal dan mental.
LALUAN mendaki yang menguji fizikal dan mental.

Untuk menamatkan laluan 'Squirrel Trail' sejauh 36km dengan jumlah ketinggian melebihi 3,000 meter, bukan mudah.

Namun, dengan sokongan dan semangat juang yang tinggi, selepas 17 jam penulis dan rakan-rakan berjaya menamatkan ekspedisi sekitar jam 6 petang.

Secara keseluruhan penulis boleh katakan, laluan tupai ini bukan untuk mereka yang baru menceburi aktiviti mendaki.

Persediaan awal dari segi fizikal dan mental amat perlu.

Selain itu, cuaca yang hujan dan panas juga antara bentuk cabaran untuk ekspedisi ini.

Laluan pendakian juga mencabar apabila terpaksa melalui tepi lereng bukit curam dan laluan yang dilitupi semak samun kerana ia jarang dilalui pendaki lain.

Apa pun, pastikan aktiviti pendakian yang dilakukan mempunyai bekalan air secukupnya bagi memastikan badan kekal hidrasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:09 AM