Norhayati Nordin


Tidak semua wanita mudah membuat keputusan untuk berkahwin. Banyak yang perlu difikirkan terutama keserasian dengan pasangan, toleransi dan kebahagiaan.

Apatah lagi, percintaan dan perkahwinan itu dua perkara berbeza. Justeru, keputusan diambil perlu difikirkan semasak-masaknya supaya tiada kekesalan di kemudian hari.

Pelakon, pengacara dan penyanyi popular, Janna Nick, 29, memaklumkan dia mengambil masa empat tahun untuk bersetuju menerima lamaran daripada suami, Dini Schatzmann, 30, yang mengajaknya berkahwin.

"Keputusan berkahwin adalah yang terbesar pernah saya buat dalam hidup. Saya akui ia bukan sesuatu (keputusan) yang mudah, walaupun ketika itu sudah saling mengenali Dini dan amat menyayanginya.

"Melihatkan kepada kemelut rumah tangga dihadapi rakan selebriti yang saya kenali, tipu kalau tiada rasa bimbang untuk berkahwin walaupun sedikit. Tiada wanita pun yang mahu perkahwinan mereka musnah," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar, Nurul Jannah Muner ini, dia juga tidak mahu melalui pengalaman mahligai cintanya bersama Dini yang berusia setahun pada 10 Jun depan dihancurkan 'orang ketiga'.

"Saya tidak kisah sekiranya perlu 'bermati-matian' dalam menjaga rumah tangga saya. Ini kerana, sudah tentu sebagai isteri, saya sangat menyayangi suami yang juga lambang kebahagiaan saya.

"Walaupun saya pernah berhadapan trauma kerana datang daripada keluarga yang berpecah belah akibat bercerai, namun saya yakin Dini adalah anugerah kebahagiaan yang Allah hadirkan untuk saya ketika ini," katanya.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu di TV3 ini berkata, dia turut berhati-hati dalam membicarakan perihal rumah tangga dan mengelak untuk 'bercakap besar' kerana tidak tahu apa berlaku pada masa akan datang.

Berbicara personaliti suaminya, Janna berkata, Dini tidak suka bergaul sangat dengan orang, termasuk jarang membalas mesej atau membuat hantaran di media sosial.

"Walaupun ada yang beranggapan saya 'queen control', tetapi sebenarnya ia bergantung kepada personaliti seseorang itu juga dan macam Dini, dia tidak bergaul sangat.

"Cuma saya tahu antara kami amat memerlukan satu sama lain. Malah, tiada siapa yang kawal siapa pun antara kita berdua dan paling utama saling menghormati," katanya.

Janna yang juga pengacara program Famili Duo berkata, dia yang mempunyai masalah kesihatan mental sehingga kini belum di tahap stabil. Namun, Dini tahu ada masa dia mampu bertindak di luar kawalan.

JANNA akui tidak mudah dia buat keputusan berkahwin dengan Dini.
JANNA akui tidak mudah dia buat keputusan berkahwin dengan Dini.

Muncul single Rasa Cinta

Sudah menghasilkan beberapa single solo dan pernah popular dengan lagu seperti Mungkin Saja, Akan Bercinta dan Gatal, Janna kini hadir dengan taruhan baharu iaitu Rasa Cinta.

Dilancarkan dua minggu lalu, Rasa Cinta hasil ciptaan Farhim dan Maznimjay yang liriknya ditulis bersama oleh Janna serta Maznimjay itu, kini muzik videonya sudah dimuat naik di saluran YouTube.

Mengulas single berkenaan, Janna berkata, ia adalah lagu mengisahkan kebahagiaan seseorang hasil daripada rasa cinta yang dilalui dan pastinya cukup dekat dengan memori ramai.

"Sesiapa yang bercinta, tentu akan rasa gembira dan bahagia. Jadi, saya tuliskan lirik yang 'catchy' untuk senang diterima ramai. Jadi, Rasa Cinta ini adalah luahan perasaan yang bahagia.

"Harapan saya supaya Rasa Cinta diterima baik pendengar muzik masa kini di mana saja berada, sebagaimana kejayaan dicapai Gatal. Apa pun, saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk lagu ini," katanya.

Baru-baru ini juga, Janna menerima Anugerah Platinum Penjualan Digital single Gatal daripada Warner Music Malaysia yang berjaya menarik perhatian pendengar muzik di luar negara, termasuk Mexico.

Gatal dilancarkan pada 2022 dan ia hasil ciptaan komposer serta penyanyi, Aepul Roza. Muzik video Gatal sudah mencecah lebih 11 juta tontonan di YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:00 AM