KEPRIHATINAN seseorang dengan datang menasihatinya menandakan kasih sayang pada saudaranya.
KEPRIHATINAN seseorang dengan datang menasihatinya menandakan kasih sayang pada saudaranya.
Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Dikisahkan bahawa seseorang datang menasihati khalifah al-Makmun dengan suara yang lantang dan tidak bersopan santun. Lantas khalifah menegurnya dengan katanya: "Orang yang lebih baik darimu pernah datang memberi peringatan kepada orang yang lebih buruk dariku. Sesungguhnya Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS diutuskan oleh Allah kepada Firaun sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Surah Taha, ayat 44)

Nasihat sangat diperlukan dalam kehidupan ini dan menjadi asas utama dalam mencipta keharmonian keluarga dan masyarakat. Dengan nasihat, seseorang akan dapat mengetahui apa yang sebaiknya dilakukan, apa kekurangan dan bagaimana seharusnya untuk mendepaninya. Seseorang sangat memerlukan pesanan nasihat dari orang lain supaya menjadi lebih baik. Oleh sebab itu, setiap insan selamanya tidak akan mampu melakukan apa pun secara bersendirian, melainkan perlu kepada nasihat, pesanan atau penglibatan dari orang lain.

Bukankah  Allah berfirman yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Dalam menasihati seseorang, maka dia hendaklah memilih bahasa yang bersopan santun dan lemah-lembut. Dalam hal ini, kebanyakan orang sering kali menggunakan tutur kata yang tidak tepat lagi bernada tinggi sewaktu menegur orang lain. Akibatnya, hal ini tentu akan memberi kesan tidak baik. Perlu ditegaskan bahawa menasihati itu berbeza dengan marah meskipun tujuannya adalah sama.

Nasihat dengan menggunakan bahasa yang kasar, nada yang tinggi dan tidak bersopan santun, tidak akan mudah diterima oleh orang yang dinasihati, meskipun kesalahannya itu ternyata salahnya dan benar adanya. Kesantunan berbahasa dan kearifan sikap akan memberikan kesan sama ada diterima atau tidaknya nasihat itu. Justeru, pemberi nasihat seharusnya bijak memilih bahasa yang tepat.

Imam Ibnu Qayyim al-Jauziah ada menyebut perbezaan antara menasihati dan memalukan. Menurut beliau, menasihati itu berlaku adil dan ihsan kepada yang dinasihati, menampakkan kasih sayang kepadanya, tidak sudi melihat saudaranya melakukan kesalahan. Niatnya hanya mencari keredaan Allah. Di samping itu, dia berperanan sebagai seorang doktor yang mengetahui punca penyakit yang dihidapi oleh  pesakit, lalu dia menentukan ubat yang tepat supaya pesakit tadi  lekas sembuh.

Manakala perbuatan memalukan seseorang itu, maka niatnya adalah untuk mengubah sambil menghinanya dan mencela orang yang diperingatinya. Walaupun celaannya dan penghinaan  berbentuk nasihat, namun ia tidak dilakukan dengan penuh adab dan melukakan perasaan orang yang dinasihatinya.    

Justeru, antara adab memberi nasihat, hendaklah menasihatinya ketika dalam keadaan sendirian dan tidak dalam keadaan terbuka kepada orang ramai. Hal ini kerana sesiapa yang menutup kesalahan saudaranya, nescaya Allah akan menutup kekurangannya di dunia akhirat. Perkara ini amat sukar dilakukan kerana semua menyedari bahawa jika menasihati di hadapan orang ramai dan secara terbuka, maka pemberi nasihat akan terlihat pintar, arif dan bijaksana, tetapi orang yang dinasihati pula tentu akan merasai keadaan yang berbeza. Dia pasti akan merasa malu, tidak selesa, bahkan mungkin merasa terhina dan diperbodohkan.

Oleh sebab itu, Imam al-Syafie pernah berkata: "Sesiapa yang menasihati saudaranya secara rahsia, maka dia telah benar-benar menasihatinya dan memuliakannya. Manakala sesiapa yang menasihatinya secara terang-terangan, maka ia telah menghina dan memalukannya."

Ringkasnya, setiap dari kita seharusnya bersedia untuk menerima sebarang pujian dan juga teguran dengan tujuan untuk memperbaiki diri supaya menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Itulah gunanya nasihat dalam kehidupan insan supaya sentiasa berada pada jalan yang benar. Tambahan pula, nasihat itu adalah anjuran Islam, malah ia juga sebahagian daripada skop amar makruf nahi mungkar. 

Keperihatinan seseorang dengan datang menasihatinya menandakan kasih sayang pada saudaranya. Kesediaannya untuk menerima sebarang nasihat dan teguran adalah tanda kebesaran hati dan jiwa penerima nasihat. Bahkan, dia pun akan berdoa: "Semoga Allah merahmati dan membalasmu dengan kebaikan kerana nasihatmu padaku menunjukkan kekuranganku."

Penulis Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 5:59 AM