Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis menerima 305 laporan daripada mangsa di beberapa kawasan yang terkesan akibat ribut dan puting beliung Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menasihati penduduk yang terjejas dengan bencana alam itu untuk tampil membuat laporan.

Katanya, laporan polis yang dibuat itu adalah bagi membolehkan mangsa terbabit membuat tuntutan dan mendapat bantuan daripada kerajaan.

"Mangsa ribut dan puting beliung yang melanda daerah ini boleh tampil buat laporan di mana-mana balai polis berdekatan," katanya kepada pemberita di penyampaian sumbangan Skuad Musa'adah kepada mangsa ribut di Dewan Komuniti Kampung Tawas di sini, hari ini .

Yahaya berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian kecurian daripada mangsa ribut .

"Namun rondaan oleh Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta anggota tugas am akan teruskan rondaan di kawasan yang dilanda ribut ini sehingga selesai," katanya.

SENATOR Idris Ahmad (dua kanan) menyampaikan bantuan barangan keperluan rumah kepada mangsa ribut ketika lawatan kerja di PPS, Kampung Tawas. FOTO Sharul Hafiz Zam
SENATOR Idris Ahmad (dua kanan) menyampaikan bantuan barangan keperluan rumah kepada mangsa ribut ketika lawatan kerja di PPS, Kampung Tawas. FOTO Sharul Hafiz Zam

Beliau berkata, pihaknya juga memberi tumpuan untuk mengawal kes kecurian besi di kawasan rumah terjejas ribut supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan.

"Setakat ini juga kita masih belum menerima sebarang laporan berkenaan kehilangan besi atau atap genting yang tercabut yang dicuri," katanya.

Katanya, penduduk juga dinasihati tidak bimbang dan polis akan terus memberi khidmat dan memantau bagi memastikan keselamatan harta benda dan nyawa mangsa di kawasan terjejas ribut terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 1:46 PM