Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan negeri Perak memberi jaminan semua keluarga terjejas dalam kejadian ribut dan puting beliung di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini Ahad lalu menerima bantuan seperti yang dijanjikan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bilangan mangsa bertambah berbanding yang dilaporkan pada peringkat awal mungkin menyebabkan ada yang belum menerima bantuan RM300 itu.

"Ketika saya umumkan bantuan segera itu pada Isnin lalu, saya diberitahu angka keluarga yang terjejas adalah 219 sahaja justeru saya beritahu kepada Pegawai Daerah untuk sediakan wang (peruntukan) secukupnya.

"Namun selepas itu angka mangsa itu bertambah. Jadi saya akan berhubung kembali dengan Pegawai Daerah untuk tanya masalah sebenar," katanya kepada pemberita di Sambutan Tahun Baharu Cina PCCCI di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan sebilangan dari mangsa bencana alam itu yan mendakwa belum menerima bantuan segera RM300 yang dijanjikan kerajaan negeri sehari selepas kejadian itu.

Terdahulu Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, setakat semalam pihaknya menerima 305 laporan daripada mangsa kejadian ribut dan puting beliung itu serta menasihatkan mangsa yang belum membuat laporan supaya tampil berbuat demikian bagi memudahkan urusan bantuan.

Saarani berkata, bantuan yang dihulurkan kepada mangsa sama ada oleh pihak kerajaan negeri atau pusat bukan bersifat membayar ganti rugi secara keseluruhan sebaliknya sekadar bantuan untuk meringankan beban mangsa.

"Kita tidak akan dapat membayar ganti rugi kepada semua kerosakan (secara keseluruhan). Kerajaan negeri beri RM300 manakala kerajaan pusat melalui NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) RM1,000.

"Kita juga bersedia bantu baik pulih kerosakan seperti bumbung tercabut atau pintu pecah namun jika kerosakan itu sekadar tiga atau empat keping atap zink diterbangkan angin, harapnya mangsa itu boleh guna bantuan diberikan untuk beli paku dan zink lalu pasang sendiri," katanya.

Mengenai kontraktor yang dilantik untuk membaiki kerosakan kediaman penduduk kawasan terjejas berkenaan, Saarani berkata sekurang-kurangnya satu syarikat kontraktor tempatan dilantik bagi mewakili setiap kawasan perumahan yang terjejas.

"Bukan satu kontraktor, sebab saya katakan sebelum ini tempat yang berbeza maka beri kepada kontraktor yang berbeza," katanya.

Kejadian puting beliung dan ribut yang melanda Ipoh pada Ahad lalu membabitkan empat lokasi sekitar Ipoh iaitu Kampung Tawas / Taman Tasek Damai, Desa Sri Chepor, Klebang, dan Taman Desa Impian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 3:11 PM