Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sambutan Tahun Baharu Cina yang sepatutnya disambut meriah bertukar suram di sekitar Kampung Tawas di sini, yang terjejas teruk akibat ribut dan puting beliung, kelmarin.

Suasan suram di kampung itu dengan hanya kedengaran bunyi bertukang dan dipenuhi pekerja sedang membaiki bumbung rumah yang terbang akibat kejadian itu.

Tiada seri gantungan tanglung di hampir setiap rumah warga masyarakat Tionghua di situ.

Persiapan awal yang dibuat untuk perayaan itu kebanyakannya sudah rosak.

Kelihatan penduduk masih sedang berusaha mengemas barang yang berserakan kesan ribut di perkarangan rumah.

Jelas kelihatan wajah muram dan tidak ceria penduduk di situ berikutan memikirkan sambutan yang terpaksa disambut dalam keadaan ditimpa malah petaka tidak diingini.

Mereka hanya duduk termenung di luar dan memerhati kerja penyelenggaraan dan baikpulih.

SUASANA di Kampung Tawas hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SUASANA di Kampung Tawas hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Tinjauan wartawan di lokasi mendapati pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta beberapa sukarelawan membantu membersihkan kediaman yang terjejas dipukul ribut dan pokok tumbang di sekitar kawasan berkenaan.

Penduduk Kampung Tawas, Lee Yoon Theian, 70, berkata, dia bersama isteri berasa sedih dan pilu kerana seolah-olah tiada sambutan perayaan Tahun Baru Cina hari ini.

"Malam makan besar semalam, kami hanya makan nasi bungkus dan burger yang diberi orang yang datang ke rumah.

"Banyak makanan yang sudah dibeli untuk perayaan. Kami terpaksa pinjam elektrik dari jiran belakang rumah untuk pasang peti sejuk agar makanan tak rosak," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

PEKERJA membaiki bumbung rumah yang terjejas akibat ribut di Kampung Tawas. FOTO Balqis Jazimah Zahari
PEKERJA membaiki bumbung rumah yang terjejas akibat ribut di Kampung Tawas. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Katanya, mereka sudah dua malam tidak berpindah dari situ berikutan bimbang barang hilang.

"Malam tadi baru siap baiki separuh bumbung tetapi hujan turun dan air masuk ke dapur dan ruang," katanya.

Seorang lagi penduduk, Cheah Kim, 50, berkata, selepas apa yang berlaku sememangnya tiada sambutan perayaan tahun ini.

"Memang tiada sambutan hari ini. Barang persiapan habis semua rosak," katanya.

Katanya, dia bersama anak tunggalnya tidur di rumah ibadat berdekatan kerana rumahnya terjejas teruk dan tidak boleh didiami.

"Kalau sebelum ini memang semua berkumpul di rumah saya, tetapi raya kali ini kalau adik beradik terus datang ke rumah ibadat saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 3:00 PM