ANTARA atap rumah yang musnah akibat ribut di sekitar Kampung Tawas, semalam.  FOTO Sharul Hafiz Zam
ANTARA atap rumah yang musnah akibat ribut di sekitar Kampung Tawas, semalam. FOTO Sharul Hafiz Zam
BERNAMA

Ipoh: Penduduk yang mengalami kerosakan rumah akibat ribut dan puting beliung yang melanda beberapa kawasan di sini petang semalam akan menerima bantuan kewangan RM1,300.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini sebanyak 219 rumah di beberapa kawasan iaitu Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini didapati terkesan dengan kejadian ribut yang berlaku pada kira-kira 6 petang, semalam.

"Kerajaan Negeri akan memberi wang ehsan sebanyak RM300 di setiap rumah terlebih dahulu pada hari ini dan kontraktor yang efisien juga akan dilantik segera untuk membaiki rumah mereka kerana atap rumah yang diterbangkan angin perlu diganti segera bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk sekiranya hujan.

"Ia perlu diselesaikan secepat mungkin kerana dibimbangi jika hujan turun, maka air hujan membuatkan kerosakan lebih teruk dalam kawasan rumah jadi kita sedang sedaya upaya selesaikan masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan ke kawasan terjejas yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Saarani berkata, bantuan wang ihsan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,000 akan turut diberikan kepada mangsa dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mastura berkata pihaknya sedang menunggu senarai mangsa dan kediaman yang terbabit daripada Pejabat Daerah Kinta untuk menyalurkan bantuan wang ihsan NADMA dengan segera.

"Pada hari ini, NADMA juga menyampaikan kotak makanan kepada penduduk yang memerlukan bagi mengurangkan bebanan mereka," katanya.

Kejadian pada kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang dan kerosakan rumah penduduk serta tiang elektrik namun, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata pemotongan bekalan elektrik telah dilaksanakan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan keselamatan orang ramai dan mengelak perkara yang tidak diingini berikutan tiang elektrik tumbang serta kabel elektrik yang berselirat.

"Bekalan elektrik akan disambung semula di kawasan perumahan dan kampung yang terbabit apabila kerja baik pulih selesai dijalankan dan penduduk diharap dapat bersabar," katanya.

Berita berkaitan:


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 1:20 PM