Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3 Briged Utara Bidor menggerakkan jentera bantuan di lokasi terjejas teruk akibat ribut dan puting beliung di beberapa kawasan di Ipoh.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor Deputi Superintendan Mazian Jenal berkata, operasi selama seminggu itu membabitkan kerja pembersihan di kawasan rumah mangsa yang terkesan ribut berkenaan.

"Dalam operasi ini kita mengerakkan kekuatan 20 anggota dan dua pegawai kanan.

"Kita membantu mangsa ribut dari segi keperluan untuk mengalihkan runtuhan atau sebarang kerosakan yang berlaku terhadap rumah dan kawasan sekeliling," katanya ketika memberi taklimat kepada anggota di perkarangan Balai Polis Kampung Tawas di sini, hari ini.

Mazian berkata, operasi dibahagikan kepada dua kumpulan yang akan digerakkan bergantung kepada keperluan.

Katanya, operasi ini sebagai lambang keprihatinan dan tanda simpati pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Briged Utara Bidor terhadap mangsa terkesan ribut.

"Kerja kami adalah untuk membantu meringankan beban mangsa, malah kita memahami bencana yang terjadi ketika masyarakat Tionghua mahu merayakan Tahun Baru Cina.

"Situasi ini mungkin akan menimbulkan trauma yang sangat berat, jadi dengan adanya kehadiran pasukan keselamatan ia sekurang-kurangnya dapat memberi sokongan dan mereka tidak keseorangan menghadapi ribut itu," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa ribut di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Desa Sri Chepor, Azmi Mohd Rashid, 56, berkata, beliau sangat terharu dengan kehadiran pelbagai pihak termasuk pasukan keselamatan membantu mereka yang terjejas.

"Sebelum ini kami sudah beberapa kali-kali diuji dengan bencana banjir dan ribut tetapi tidak seteruk ini," katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dalam kejadian itu rumahnya terjejas teruk dan mereka sekeluarga terpaksa tinggal di rumah inap dan masjid buat sementara waktu.

Ahad lalu, 219 rumah di Taman Desa Seri Chepor, Kampung Tawas, Taman Tasek Damai dan Kampung Seri Klebang Tambahan Jaya di sini didapati terkesan dengan kejadian ribut dan puting beliung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Februari 2022 @ 3:39 PM