Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi tiket Barisan Nasional (BN).

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran berkata, hasrat parti itu untuk bertanding pada PRN Johor sudah disampaikan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pucuk pimpinan BN juga memberikan maklum balas positif berhubung hasrat itu.

"Dalam pertemuan bersama Pengerusi BN sebelum ini beliau ada menyatakan parti politik 'Friends of BN' perlu diberi peluang untuk bertanding sama dalam PRN Johor atas kegigihan dan kesetiaan kami terhadap gabungan ini.

"Berapa banyak kerusi atau kerusi mana itu kita tidak tetapkan dan tiada syarat langsung, apa yang kami mahu hanyalah peluang untuk sama-sama berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan bersama Jawatankuasa Tertinggi Parti Makkal Sakti Malaysia dan ketua bahagian parti itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam pada itu, Thanenthiran berkata, Makkal Sakti sedia menggerakkan seramai 27,000 ahli parti itu di negeri ini untuk membantu kempen bagi memenangkan BN dalam PRN Johor.

"Jentera kami sudah membuat persiapan untuk sama-sama berkempen dan mengajak masyarakat khususnya kaum India di negeri ini supaya kembali memberi sokongan kepada BN," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Makkal Sakti akan terus setia bersama BN walaupun terdapat beberapa tawaran kerjasama daripada parti lain selepas gabungan itu mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14)

"Selepas BN tewas, banyak parti meninggalkan gabungan itu, sementara banyak juga tawaran diberikan kepada kami, namun kami tetap setia bersama BN sama ada menang atau kalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 4:35 PM
AHMAD Maslan (dua kanan) beramah mesra bersama RS Thanenthiran selepas Mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Makkal Sakti Malaysia di Hotel Granada, Bukit Indah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AHMAD Maslan (dua kanan) beramah mesra bersama RS Thanenthiran selepas Mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi Makkal Sakti Malaysia di Hotel Granada, Bukit Indah. FOTO Nur Aisyah Mazalan