M SARAVANAN. FOTO Arkib NSTP
M SARAVANAN. FOTO Arkib NSTP
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: MIC berhasrat untuk kekal bertanding di empat kerusi tradisi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya akan menyampaikan hasrat berkenaan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dalam satu pertemuan yang dijangka diadakan esok.

Beliau berkata, perjumpaan berkenaan bertujuan memuktamadkan pembahagian kerusi calon BN dalam pilihan raya itu.

"Presiden (MIC) sampaikan kepada kami supaya kekal bertanding di kerusi yang ditandingi sebelum ini.

"Kita dalam BN memang mengamalkan perkongsian kuasa dan akan membuat pilihan terbaik untuk parti dan negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Mencarum Usahawan Tekun di Hotel Renaissance di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Mengulas permintaan MIC Bahagian Kulai yang mahu bertanding di DUN Bukit Batu, beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan menjelang pilihan raya ada pihak menuntut kerusi.

Menurut Saravanan, mana-mana pihak boleh memohon untuk bertanding di kerusi yang diingini tetapi pada akhirnya nanti pucuk pimpinan akan memutuskannya.

"Masa pilihan raya semua orang nak jadi calon, orang akan minta sana sini, lepas itu akhirnya kita akan akur keputusan pucuk pimpinan BN, itulah kelebihan BN.

"Cuma kita nyatakan pendirian kita tidak menghalang pucuk pimpinan BN untuk memberi kerusi kepada 'Friends of BN', asalkan jangan kerusi kita diambil orang lain," katanya.

Pada 30 Januari lalu, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti), Datuk Seri R S Thanenthiran dilaporkan pihaknya berharap akan diberikan peluang untuk bertanding dalam PRN Johor.

Ia berikutan Makkal Sakti selaku Friends of BN sudah lama mahu bertanding pilihan raya selain atas faktor kesetiaan mereka terhadap BN sejak lebih 14 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 2:39 PM