Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Dua ahli dewan undangan negeri (Adun) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan keluar parti setakat ini tidak memohon menyertai Umno.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti berkenaan tidak menerima sebarang permohonan daripada kedua Adun terbabit.

"Belum ada, mereka (dua Adun) tidak ada lagi menghantar permohonan untuk sertai Umno," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan bersama Jawatankuasa Tertinggi Parti Makkal Sakti Malaysia dan ketua bahagian parti itu, di sini, hari ini.

Semalam, Adun Larkin, Datuk Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu mengumumkan keluar Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Khamis lalu pula, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang, dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media di Pontian, malam ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media di Pontian, malam ini. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Bagaimanapun, Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor, dilaporkan berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan BN.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua Adun berkenaan yang menyatakan sokongan kepada BN dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

"Saya ingin nyatakan tiada sebarang habuan ditawarkan atau dijanjikan kepada kedua Adun berkenaan.

"Mereka membuat keputusan itu secara sukarela, suci hati dan tanpa dijanjikan apa-apa tawaran kerana yakin dengan kerajaan pimpinan BN.

"Terima kasih atas sokongan dan keyakinan mereka itu, ia amat bermakna bagi Umno dan BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 1:15 PM