Anwar beramah mesra dengan masyarakat setempat semasa melakukan 'walkabout' di pekan Kelapa Sawit, di Kulai. FOTO ihsan PKR
Anwar beramah mesra dengan masyarakat setempat semasa melakukan 'walkabout' di pekan Kelapa Sawit, di Kulai. FOTO ihsan PKR
Mohamed Farid Noh


Kulai: PKR akan memuktamadkan senarai calon parti berkenaan yang akan bertanding untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dalam masa terdekat.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti berkenaan masih mempunyai waktu sebelum menyelesaikan segala proses rundingan sebelum menyenarai calon terbaik.

"Kita akan memuktamadkan segera mungkin. Kita kira ada beberapa hari lagi," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ramah mesra dengan masyarakat setempat dan melakukan 'walkabout' di pekan Kelapa Sawit di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalannya, Jimmy Puah Wee Tse.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dijadualkan akan melancarkan Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Double Three Hilton, Johor Bahru, pagi esok.

Sementara itu, Wee Tse berkata, perbincangan akhir mengenai senarai calon PKR negeri yang bertanding akan dilakukan sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pada 9 Februari ini.

Katanya, PKR Johor akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada PRN berkenaan berbanding 12 kerusi Dun pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU-14).

"Bagaimanapun PKR dan komponen Pakatan Harapan (PH) Johor sedang berunding dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkenaan pembahagian akhir kerusi pada PRN Johor.

"Kita sudah berunding dengan Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrul Ab Rahani dan juga Setiausaha Agung Muda, Nur Amira Aisyah Abd Aziz berkenaan pembahagian kerusi sebelum Tahun Baharu Cina.

"Kita rasa lebih sesuai untuk bekerjasama dengan Muda berbanding parti lain dan setakat ini tiada perbincangan dengan parti pembangkang lain (parti pembangkang di luar komponen PH).

"Kerjasama itu akan menyaksikan parti komponen PH (PKR, DAP dan Amanah) secara bersama akan menyerahkan sebahagian kuota kerusi Dun yang akan ditandingi kepada Muda," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kembali dicalonkan dalam PRN Johor, Wee Tse yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Batu itu berkata, sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diputuskan kepimpinan Pusat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 6:54 PM