Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tebrau, Mazlan Bujang, hari ini meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga ahli dewan undangan negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi BERSATU Johor berkata, beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras.

"Saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian BERSATU Tebrau serta keluar parti berkuatkuasa serta merta.

"Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha BERSATU Bahagian serta 23 ketua cawangan, ahli jawatankausa serta pegawai bahagian Tebrau.

"Saya juga mengisytiharkan bahawa saya kini tidak menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong Barisan Nasional (BN).

"Saya juga mengambil pendirian menyokong Datuk Hasni Mohamad, Menteri Besar Johor untuk memimpin semula Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri Johor yang lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kompleks Yayasan Warisan Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata,

keputusan itu diambil berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil.

Katanya, ia termasuk kepimpinan yang diyakini dan juga berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir negeri Johor dengan baik.

"BERSATU dan Pakatan Harapan (PH) Johor juga dilihat gagal mengemukakan calon menteri besar yang layak mentadbir negeri Johor.

"Saya juga menyeru kepada semua ahli dan penyokong BERSATU untuk bermuhasabah diri dan menyokong kepimpinan Datuk Hasni Mohamad dan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti," katanya.

MAZLAN Bujang. FOTO arkib NSTP
MAZLAN Bujang. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 3:13 PM