Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa Mazlan Bujang mendedahkan sudah lama memendam rasa dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meminggirkannya sejak dahulu, sebelum mengambil keputusan keluar parti hari ini.

Mazlan yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor berkata, ia termasuk diboikot Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak pernah menghadiri atau menghantar wakil mesyuarat pimpinan negeri ketika beliau memimpin parti peringkat negeri sebelum ini.

"Saya sebenarnya tak mahu komen hal dalaman Bersatu dan tak suka memburuk-burukkan orang namun sudah lama berdiam diri.

"Bagaimanapun, apabila ada pemimpin (Bersatu) yang mengeluarkan kenyataan, saya perlu mempertahan diri sendiri.

"Selama saya dilantik sebagai Pengerusi Bersatu negeri dengan surat lantikan oleh Tan Sri Muhyiddin sendiri, saya diboikot dan tak pernah Bersatu Bahagian Pagoh hantar wakil dalam mesyuarat pimpinan negeri.

"Namun apabila jawatan saya diambil oleh Muhyiddin, perlu ke saya hadir untuk menghormatinya sedangkan beliau tak pernah hormati saya.

"Perlantikan saya, beliau sendiri yang tandatangani tapi kenapa perlu boikot, namun bila saya hanya Ketua Bahagian Tebrau, saya 'gentleman', saya hantar wakil timbalan serta setiausaha bahagian sebagai wakil untuk tahu apa perkembangan dalam Bersatu. Mengapa pula ketidakhadiran saya pula dijadikan alasan pula," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini, hari ini.

Mazlan mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Johor Mohd Solihan Badri hari ini, yang mendakwa beliau tidak pernah hadir ke Mesyuarat Ketua Bahagian Bersatu Johor.

Sebelum ini, desas-desus Mazlan bakal meninggalkan Bersatu hangat diperkatakan sejak lebih sebulan lalu termasuk dakwaan beliau akan mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas bagi memberi laluan PRN Johor diadakan, namun ia dinafikannya.

Mazlan Bujang hari ini dilaporkan meletak jawatan ketua bahagian sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan dilaporkan berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada 8 September 2020, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan beberapa lantikan baharu yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu termasuk Muhyiddin yang dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor menggantikan Mazlan.

Untuk rekod, Mazlan dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor berkuat kuasa 25 Mei 2019.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, beliau akan menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Tebrau dan ahli Bersatu dalam masa terdekat.

"Suratnya dah siap dan saya akan hantar kepada Bersatu Johor sehari dua ini," katanya.

Ditanya kerjaya politiknya selepas ini, Mazlan tidak menafikan menerima beberapa tawaran dari parti politik tanah air.

"Tiada tawaran itu bohonglah, namun saya tak nak keruhkan keadaan. Saya hormati kawan-kawan saya dalam Bersatu dan juga Pakatan Harapan (PH), mereka kawan baik cuma berbeza dari segi pandangan dan prinsip.

"Bila saya tidak bersama PH sebelum ini pun saya masih baik dengan DAP, Amanah dan PKR, malah kami masih bertemu.

"Sebagai kawan saya terima mereka dan tidak pernah menjauhkan diri apatah lagi sebagai pemimpin negeri, itu tanggungjawab saya mendengar aduan dan nasihat mereka. Saya letakkan kepentingan rakyat lebih penting dari kepentingan parti," katanya.

Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Laporan portal Harian Metro sebelum ini

Berita berkaitan

Mazlan Bujang keluar BERSATU

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 5:07 PM