Perhilitan menangkap gajah liar jantan di kawasan kebun di Kampung Salor, Jeli. FOTO Ihsan Perhilitan
Perhilitan menangkap gajah liar jantan di kawasan kebun di Kampung Salor, Jeli. FOTO Ihsan Perhilitan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap seekor gajah liar jantan dalam satu operasi di kawasan kebun di Kampung Salor, Jeli, Jumaat lalu.

Operasi tangkapan itu dilakukan pada 5 petang oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) susulan aduan diterima daripada penduduk sejak Ogos lalu berhubung gangguan gajah liar di Kampung Salor, Kampung Batu Melintang, Jerek, Lawar dan Pendok.

Perhilitan menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan, gajah yang ditangkap itu adalah gajah jantan dengan anggaran ukuran tapak kaki hadapan 35 sentimeter.

"Gajah ini adalah daripada kumpulan gajah Gunung Basor dengan anggaran populasi lebih dari 30 ekor dan dipercayai keluar dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Basor untuk mencari sumber makanan.

"Jabatan Perhilitan mengambil tindakan seperti memberi khidmat nasihat kepada penduduk setempat, pemantauan dan kawalan di kawasan konflik selain menggunakan kaedah tembak halau bagi memastikan gajah liar berkenaan kembali semula ke hutan simpan berhampiran.

"Operasi tangkap pindah ini adalah langkah susulan bagi mengelakkan kerugian berterusan kepada penduduk setempat dan memastikan keselamatan gajah liar dari diancam pemburuan haram," katanya, hari ini.

Perhilitan turut memaklumlam, operasi pindah gajah liar itu dirancang dilakukan esok dan gajah berkenaan akan dilepaskan ke habitat semula jadi di Taman Negara dengan kerjasama daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang Pahang.

Katanya, penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun supaya tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan risiko konflik hidupan liar di kawasan berkenaan.

"Pihak jabatan ingin menjelaskan bahawa operasi tangkap pindah gajah bukan penyelesaian jangka panjang terutamanya di kawasan kebun atau ladang yang berhampiran dengan kawasan hutan simpan.

"Langkah mitigasi yang lebih efektif seperti sistem pagar elektrik gajah (SPEG) adalah salah satu kaedah yang paling berkesan untuk menghalang gajah liar memasuki kawasan tanaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 10:35 AM