Noor Hidayah Tanzizi


Gerik: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak memindahkan seekor gajah jantan seberat 2.3 tan ke Taman Negeri Royal Belum, di sini, hari ini.

Terdahulu, gajah yang diberi nama Yob Tawai dianggarkan berusia antara 10 hingga 11 tahun itu dipercayai tersesat, ditangkap di Ladang Felda Tawai di sini, pada 4 Januari lalu.

Yob Tawai 'dipujuk' dengan menggunakan khidmat dua gajah denak iaitu Rambai dan Abot yang

didatangkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.

Difahamkan, gajah itu daripada kumpulan Hutan Simpan Piah dan berkemungkinan haiwan itu diusir keluar kumpulan oleh gajah jantan yang dominan memandangkan hanya seekor gajah di situ.

Perhilitan Perak menerima aduan itu daripada pihak berkenaan pada 24 Disember lalu.

Usaha menangkap gajah berkenaan sebelum ini agar sukar memandangkan kawasan berkenaan tiada pokok besar untuk berlindung sekiranya gajah berjaya ditangkap.

Operasi pemindahan yang bermula 9 pagi membabitkan 22 kakitangan terdiri daripada 10 kakitangan Perhilitan Perak, 10 orang dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan serta dua lagi doktor veterinar.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff mengesahkan operasi pemindahan gajah berkenaan.

Sementara itu, buruh ladang, Rozali Mohd Zin, 42, berkata, ini pengalaman pertamanya terserempak dengan gajah ketika meronda kawasan ladang.

Menurutnya, haiwan itu disedari berada di ladang sejak seminggu lalu dan kebiasaannya dilihat pada

petang serta malam, selain itu berlaku kerosakan pada pokok getah dan pisang.

"Kami lihat haiwan itu dari jauh saja dan tidak berani mendekatinya. Kami kemudiannya segera melaporkan kepada pihak berkenaan.

"Saya banyak dengar orang cerita ini kawasan dia (gajah selalu tersesat) kerana berhampiran dengan Hutan Simpan Piah. Lega juga bila sudah ditangkap dan dipindahkan tetapi kena berhati-hati juga," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 5:08 PM