Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Kumpulan penjenayah yang aktif melakukan samun dan pecah rumah termasuk beberapa kuil di daerah ini tumpas apabila lima lelaki termasuk ketuanya ditahan Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, semua suspek berusia 18 hingga 30 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Banting dan Bandar Baru Klang.

Katanya, polis terlebih dulu menerima laporan daripada setiausaha sebuah kuil di Telok Bunut, Banting memaklumkan dua pekerja kuil itu cedera di kepala akibat dipukul menggunakan kayu oleh dua individu.

 SUPERINTENDAN Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh menunjukkan parang yang digunakan penjenayah. FOTO Faiz Anuar
SUPERINTENDAN Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh menunjukkan parang yang digunakan penjenayah. FOTO Faiz Anuar

"Antara yang hilang ialah barang kemas milik kuil, pasport, telefon bimbit, komputer riba serta wang tunai RM7,800.

"Bertindak atas maklumat, polis menahan dua suspek di Bandar Baru Klang manakala tiga lagi di Banting serta menemui barangan yang disamun geng berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati mereka aktif sejak tiga bulan lalu serta mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, semalam.

Beliau berkata, modus operandi geng itu ialah melakukan jenayah pecah rumah khususnya waktu malam dengan menggunakan senjata seperti parang dan kayu rotan.

Katanya, jika terdapat pemilik atau pekerja di lokasi sasaran, geng berkenaan akan bertindak mengikat dan menggunakan kekerasan termasuk memukul mangsa.

Menurutnya, geng itu dipercayai menjadikan kuil sebagai sasaran berikutan terdapat barang kemas yang ditempatkan pengunjung bagi upacara keagamaan.

"Dengan penangkapan ahli geng ini, polis percaya dapat menyelesaikan 20 kes pecah rumah di sekitar Banting, Kuala Selangor dan Klang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 10:37 AM