Superintendan Ahmad Ridhwan menunjukkan barang yang dirampas.
Superintendan Ahmad Ridhwan menunjukkan barang yang dirampas.
Norzamira Che Noh

Kuala Langat: Menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen untuk memeras ugut warga asing di daerah ini bagi mendapatkan wang mudah.

Itu antara kegiatan dua penjenayah warga tempatan berusia 30-an sebelum akhirnya berjaya diberkas polis di Klang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata, dua suspek lelaki itu ditahan secara berasingan di sekitar Klang pada jam 1.45 petang dan 4.15 petang oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuala Langat.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kes samun seorang warga India berusia 30-an di Taman Muhibbah, Banting pada 8 Disember lalu.

Katanya, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan serta pembantu kedai membuat laporan bahawa dia ditahan dua lelaki menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

"Salah seorang suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen dari Shah Alam dan meminta mangsa menunjukkan pasport. Mangsa yang gagal menunjukkan pasport dipaksa masuk ke dalam kereta seterusnya di bawa ke satu kawasan di daerah Klang.

"Semasa dalam perjalanan, mangsa dipukul dengan menggunakan kasut dan suspek meminta wang sebanyak RM3,000 daripada majikan mangsa jika mahu dia dilepaskan.

"Bimbang akan keselamatan mangsa, majikannya kemudian memasukkan sejumlah RM1,500 ke dalam akaun bank suspek. Mangsa kemudian dilepaskan di hadapan sebuah pasaraya di Klang," katanya tadi.

Ahmad Ridhwan berkata, modus operandi kumpulan berkenaan adalah menyasarkan warganegara asing yang keluar berseorangan sebelum diculik.

Katanya, hasil semakan juga mendapati dua suspek itu masing-masing mempunyai enam rekod jenayah lampau.

"Susulan tangkapan dua suspek terbabit, polis juga berjaya merampas semula barangan milik mangsa iaitu telefon bimbit, kad pengeluaran wang automatik (ATM) serta merampas sebuah kereta Perodua Myvi.

"Hasil soal siasat awal juga kita percaya tangkapan ini berjaya menyelesaikan sembilan kes samun terhadap warga asing dengan menyamar sebagai penjawat awam di kawasan Kuala Langat sejak setahun lalu," katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan melakukan samun berkumpulan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan menyamar penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 4:57 PM