Superintendan Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan parang yang digunakan dua lelaki untuk menyamun sejak tiga bulan lalu. FOTO IHSAN IPD Kuala Langat
Superintendan Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan parang yang digunakan dua lelaki untuk menyamun sejak tiga bulan lalu. FOTO IHSAN IPD Kuala Langat
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Dua ahli Geng Stallone yang aktif melakukan jenayah samun sejak tiga bulan lalu ditahan dalam keadaan khayal di sebuah rumah di Taman Sentosa, Klang, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, sebelum tangkapan dilakukan, pihaknya terdahulu menerima laporan daripada seorang pekerja hotel di Sungai Jarom pada 15 Jun lalu.

Katanya, mangsa yang berusia 19 tahun melaporkan dia disamun dua lelaki bersenjatakan parang ketika sedang bekerja.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan cawangan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berjaya menahan kedua-dua suspek di sebuah rumah kosong dipercayai 'port' hisap dadah di Taman Sentosa, Klang pada jam 2.30 petang, Khamis lalu.

"Polis juga merampas sejumlah barangan iaitu dua telefon bimbit serta sebilah parang yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian samun.

"Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 28 dan 30 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua mangsa positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati kedua-dua suspek itu aktif dalam jenayah samun sejak tiga bulan lalu.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2023 @ 2:17 PM