Ahmad Ridhwan menunjukkan barang rampasan susulan penangkapan suspek kumpulan pecah rumah, Geng Ameng. FOTO IHSAN IPD KUALA LANGAT
Ahmad Ridhwan menunjukkan barang rampasan susulan penangkapan suspek kumpulan pecah rumah, Geng Ameng. FOTO IHSAN IPD KUALA LANGAT
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan hotel di sekitar Banting susulan penangkapan tiga suspek lelaki tempatan dikenali sebagai Geng Ameng, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, ketiga-tiga suspek berumur awal 20an itu ditangkap kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes pecah hotel dan rumah di sekitar Banting, di sini.

"Tangkapan pertama di tepi jalan Taman Setia Jaya Banting kira-kira jam 7 malam, manakala dua lagi suspek ditangkap pada 9 malam di sebuah kedai runcit di Jalan Keli, Kampung Tongkah pada hari sama.

"Semasa tangkapan dijalankan, pihak polis turut merampas sebilah parang dan sejumlah dadah daripada suspek iaitu lapan paket syabu, 10 biji pil Erimin 5 dan enam paket ganja.

"Siasatan mendapati, kumpulan ini diketuai oleh seorang lelaki tempatan dikenali nama panggilan Ameng," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek membawa kepada lokasi penyimpanan barang hasil pecah rumah di sekitar kawasan ini.

"Antara barang kes dirampas adalah tiga buah kompresor penghawa dingin, tiga penghawa dingin, tiga alat kawalan jauh, sebuah pembesar suara dan tiga televisyen.

"Siasatan ke atas suspek mendapati, mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah.

"Hasil saringan air kencing ke atas kesemua suspek, polis mendapati ketua kumpulan geng itu positif dadah jenis Methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari dan ditahan di lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

"Permohonan reman sudah dibuat di Mahkamah Majistret Telok Datok Banting.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958, Sek 29 (1) Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 4:22 PM