AHMAD Ridhwan dan pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barang yang dirampas susulan penahanan tujuh ahli Geng Deva. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat.
AHMAD Ridhwan dan pegawainya menunjukkan sebahagian daripada barang yang dirampas susulan penahanan tujuh ahli Geng Deva. FOTO Ihsan IPD Kuala Langat.
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Polis menahan tujuh individu, semalam yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar daerah ini, termasuk rumah pegawai polis.

Mereka dikenali Geng Deva diberkas menerusi serbuan di sekitar Taman Telok Panglima Garang bermula 10.40 pagi hingga 7.10 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, sebelum ini pihaknya menerima laporan kediaman seorang inspektor polis di Telok Panglima Garang dipecah masuk pada 13 Ogos lalu.

Katanya, dalam kejadian itu, mangsa kehilangan baju, beg, kasut dan pakaian seragam polis lengkap dengan aksesori.

"Bertindak atas maklumat awam, kesemua suspek berusia 20-an itu ditahan secara berperingkat dan hasil siasatan, suspek menunjukkan turut menunjukkan tempat penyimpanan barang-barang samun termasuklah sepasang 'uniform' polis.

"Barangan lain adalah sebuah Proton Wira, masing-masing dua unit 'air compressor' dan jam tangan serta peralatan pecah rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 20 kes pecah rumah, kedai dan kecurian kabel di kawasan Kuala Langat.

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes pecah rumah, curi kabel, kes samun dan penyalahgunaan dadah.

"Hasil ujian air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan mereka direman tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 6:15 PM