Ahmad Ridhwan menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas. FOTO IHSAN IPD KUALA LANGAT
Ahmad Ridhwan menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas. FOTO IHSAN IPD KUALA LANGAT
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Polis menahan seorang lelaki tempatan bersama 6,750 karton rokok seludup di tepi jalan Klang-Banting, di sini malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata suspek ditahan bersama sebuah lori jenis Hicom kira-kira jam 8.30 malam semasa pasukannya dengan kerjasama Unit Risikan Marin Pelabuhan Klang menjalankan Ops Taring Landai.

"Polis berjaya merampas sebanyak 6,750 karton rokok tidak bercukai jenama SAAT yang bernilai RM 337,500.

"Hasil semakan polis mendapati suspek yang berumur lingkungan 33 tahun itu tidak bekerja dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

"Suspek mengaku membawa rokok seludup sejak Mazlc yang diaturkan oleh seorang lelaki juga warga tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek juga mengaku mengambil rokok terbabit di Kota Bharu, Kelantan dan dipasarkan di sekitar Johor Bharu, Johor dengan kadar bayaran RM500 setiap satu perjalanan.

"Suspek direman selama 14 hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai rampasan, sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai rampasan atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan dan sebarang aktiviti jenayah boleh menghubungi bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 1:43 PM